“Turun Anwar” hanya gugat kestabilan tak cerminkan suara majoriti rakyat – Afdlin

KUALA LUMPUR – Protes “Turun Anwar” tidak mencerminkan arus utama rakyat, sebaliknya dilihat sebagai percubaan politik pihak tertentu untuk menggugat kestabilan.

Ketua Cabang PKR Setiawangsa Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, rumusan itu bersandarkan kepada angka kehadiran, prestasi kerajaan, dan konteks politik semasa.

Beliau menegaskan, kerajaan sedang berusaha memperbaiki keadaan ekonomi dan sebarang perubahan seharusnya dilakukan melalui proses institusional yang sah.

Justeru Afdlin menyeru supaya rakyat Malaysia perlu kekal rasional dan bijak menilai bukan terikut-ikut emosi atau sentimen partisan.

“Malaysia memerlukan perpaduan, bukan perpecahan. Setiap kali ada desakan untuk “turun”, kita harus bertanya: adakah negara sedang jatuh, atau sebenarnya sedang naik?

“Tapi pandangan itu juga subjektif dan selalunya akan berasaskan pada kecenderungan politik kita, lebih dari fakta dan kenyataan sebenar. Kita renung-renungkanlah,” kata Afdlin.

Mengulas lanjut Afdlin demonstrasi yang dinamakan “Turun Anwar” telah berlangsung di Kuala Lumpur. Penganjurnya termasuk sayap pemuda Pas menyuarakan tuntutan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletakkan jawatan. Namun, daripada sekadar melihat demonstrasi ini sebagai simbol kebangkitan rakyat, kita perlu mengkaji secara lebih mendalam: adakah protes ini benar-benar mencerminkan suara majoriti rakyat? Atau sekadar strategi politik untuk menggugat kestabilan?

“Pihak penganjur sebelum ini menyasarkan kehadiran antara 100,000 hingga 300,000 peserta. Namun, menurut kenyataan rasmi polis, jumlah kehadiran yang direkodkan hanyalah sekitar 18,000 orang satu angka yang jauh lebih rendah daripada dijangkakan. Kekurangan ini menggambarkan realiti bahawa sokongan rakyat terhadap desakan ini tidak sekuat yang digambarkan. Ini juga mengundang persoalan: apakah benar ini gerakan rakyat, atau hanya mobilisasi politik oleh pihak pembangkang? soal beliau.

Afdlin juga menyebut, di sebalik kritikan, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar telah memperkenalkan beberapa dasar yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan ekonomi rakyat.

“Antaranya -subsidi minyak RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter; bantuan tunai RM100 kepada rakyat dewasa berpendapatan rendah dan pelancaran Pakej Rahmah dan skim bantuan makanan asas untuk B40- langkah-langkah ini, walaupun tidak sempurna, menunjukkan usaha konkrit kerajaan dalam meredakan kesan inflasi dan memulihkan keseimbangan fiskal negara.

“Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi berparlimen. Jika pihak pembangkang benar-benar percaya bahawa Perdana Menteri telah kehilangan sokongan majoriti, mekanisme usul undi tidak percaya sedia ada boleh dimanfaatkan di Dewan Rakyat.

“Hak untuk berhimpun adalah dijamin oleh Perlembagaan, tetapi apabila protes dilakukan secara berulang-ulang dan bersifat simbolik tanpa hasil legislatif, ia boleh dilihat sebagai retorik politik, bukan reformasi sebenar.

“Selain itu, pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa ucapan-ucapan dalam protes akan disiasat kerana berpotensi menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat perpaduan nasional

“Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, sensitiviti terhadap 3R perlu ditangani dengan berhati-hati, dan sebarang ucapan yang bersifat hasutan harus ditolak oleh rakyat dari semua latar belakang,” ulas Afdlin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat