Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Balai Seni Negara meneruskan usaha memperluas akses seni visual ke seluruh negara melalui penyertaan dalam Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2025 yang sedang berlangsung di Muzium Padi, Gunung Keriang dekat sini sehingga 29 Julai 2025.
Balai Seni Negara dalam kenyataannya memaklumkan, tiga pengisian utama di Reruai 12 FHMAPK 2025 dibawakan khusus untuk para pengunjung di utara tanah air.
Di antaranya, Pameran Imersif: Merungkai Bingkai, Bengkel Ilustrasi Digital bersama artis Lyana Leong dan Yumz serta sesi Art Talk: “Desentralisasi Bakat Muda Sezaman dalam Jejak Seni Malaysia”.
Selain itu, Pameran Imersif: Merungkai Bingkai dibawa terus dari Balai Seni Negara ke Muzium Padi sebagai usaha menjangkau khalayak luar ibu kota.
“Langkah ini bertujuan memperluas capaian seni dan memberikan peluang kepada komuniti di utara tanah air untuk merasai pengalaman seni interaktif dan kontemporari.
“Menggabungkan elemen seni dan teknologi, pameran ini membuka ruang baharu kepada pengunjung untuk menyelami seni bukan sekadar sebagai tontonan, malah sebagai pengalaman yang boleh dirasai dan dihayati secara menyeluruh,”kata kenyataan itu.
Katanya, sebagai sebahagian daripada pendekatan inklusif untuk menggalakkan penyertaan generasi muda, Bengkel Ilustrasi Digital bersama Lyana Leong dan Yumz turut diadakan setiap hari sehingga 28 Julai 2025, dari jam 5 petang hingga 7 malam.
Dalam pada itu orang ramai dan peminat seni dijemput menyertai sesi Art Talk: “Desentralisasi Bakat Muda Sezaman dalam Jejak Seni Malaysia” yang akan berlangsung pada 28 Julai 2025, jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, di Ruang Seminar, Zon E2, Muzium Padi.
Ujarnya, sesi ini menampilkan dua kurator Balai Seni Negara, iaitu Syahrul Niza Ahmad Zaini dan Erry Arham Azmi, yang akan membincangkan bagaimana program Bakat Muda Sezaman (BMS) berperanan memperluas pengaruh seni ke pelbagai lapisan masyarakat serta menggalakkan perkembangan seni di luar pusat bandar.
BMS merupakan pertandingan anjuran Balai Seni Negara yang memberi pengiktirafan kepada pengkarya muda dalam bidang seni visual kontemporari.
Ujarnya lagi, sejak diperkenalkan pada 1974, BMS telah menjadi platform penting bagi menampilkan idea, pendekatan dan suara generasi baharu, sekali gus menyumbang kepada pembentukan landskap seni Malaysia yang progresif dan pelbagai.
Tambahnya, penyertaan Balai Seni Negara dalam FHMAPK 2025 bagi mengukuhkan peranannya sebagai institusi seni nasional yang responsif terhadap perubahan zaman, komited untuk merakyatkan seni visual serta mendekatkannya kepada semua lapisan masyarakat.
Untuk maklumat lanjut, layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.-SUARA.TV



