UMNO sanggup angkat Anwar jadi PM, BERSATU tidak masuk akal sertai PH-DAP – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan dakwaan bahawa parti itu akan menyertai Pakatan Harapan melalui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah tidak benar dan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana saluran rasmi parti.

Menurut beliau, tiada sebarang perbincangan mengenainya dalam Biro Politik, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau perbincangan tidak rasmi dalam parti.

“Jika ada sebarang usaha ke arah itu, sudah tentu ada tanda-tanda atau bayangan gerakan atau operasi ke arah itu.

“Misalnya seperti yang terjadi kepada gerakan SD oleh pengikut Datuk Seri Hamzah Zainudin, cakap-cakap mengenai janji-janji seperti janji kem Zahid Hamidi untuk UMNO keluar dari kerajaan PH, Zahid menjadi PM dan Hamzah menjadi TPM selepas menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau bisik-bisik yang mendedahkan Langkah Bangkok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tun Faisal berkata, BERSATU merupakan antara parti yang menjatuhkan kerajaan PH selepas 22 bulan mentadbir negara dan menyingkirkan Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri.

“Setakat ini tidak nampak BERSATU hendak jadi seperti UMNO yang sanggup mengangkat Anwar jadi PM dengan cara penipuan dan pengkhianatan undi pengundi-pengundi BN.

“UMNO dan DAP pun menjauhkan diri daripada PH kerana tak mahu dikaitkan dengan PM dan kerajaan yang gagal. Takkan BERSATU hendak bersama PH-BN?” katanya.

Beliau turut mendakwa pendirian BERSATU terhadap kerajaan perpaduan kekal konsisten termasuk dalam isu politik di Negeri Sembilan apabila ADUN parti itu menarik semula kesediaan bekerjasama dengan ADUN UMNO selepas parti berkenaan kembali menyokong kerajaan PH-BN.

Dalam kenyataan sama, Tun Faisal menjelaskan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin parti bukan bertujuan menaikkan pengaruh mana-mana individu termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Tindakan pembersihan ini tiada kaitan dengan sesiapa sebaliknya adalah tindakan Lembaga Disiplin melaksanakan tugasnya seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan BERSATU untuk bertindak ke atas mereka yang melanggar perlembagaan dan disiplin parti, mengkhianati parti, berunding secara haram dan tanpa mandat dengan pihak-pihak luar,” katanya.

Menurut beliau, terdapat ahli yang dipecat, digantung dan diberi amaran berdasarkan kesalahan masing-masing.

Tun Faisal turut mempertahankan Azmin dengan menyatakan Setiausaha Agung BERSATU itu tidak pernah melanggar perlembagaan parti, kod etika atau terlibat dalam rundingan haram dengan pihak luar.

Beliau turut memuji prestasi Azmin sebagai Setiausaha Agung parti yang disifatkan lebih tersusun dari segi pentadbiran, pengurusan mesyuarat dan sistem data keahlian.

“Azmin juga mempunyai track record pencapaian yang baik di kementerian yang diketuainya dan pencapaian yang hebat semasa menjadi Menteri Besar Selangor.

“Azmin juga terbukti jauh lebih berkesan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor,” katanya.

Tambah beliau, Azmin mempunyai merit dan kewibawaan tersendiri tanpa perlu menjatuhkan mana-mana pihak untuk mendapat pengiktirafan dalam parti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat