Oleh Zihan Zari
BATU MAUNG – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah mengesahkan hasil analisis makmal terhadap sampel air dan kerang di perairan Kuala Juru, Pulau Pinang berada pada tahap selamat serta mematuhi standard keselamatan makanan negara.
Keputusan analisis tersebut menunjukkan keadaan perairan Kuala Juru serta hasil laut di kawasan berkenaan masih berada pada tahap selamat dan terkawal, kata Pengarah Perikanan Pulau Pinang, Azimah Jumatli.
“Analisis tersebut dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung dengan kerjasama Pusat Biosekuriti Perikanan Kuantan dan Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor susulan aduan berkaitan pencemaran yang diterima daripada komuniti setempat, ”katanya dalam kenyataan.
“Pemeriksaan meliputi parameter logam berat, kualiti air, plankton dan biotoksin marin.
“Keputusan ujian mendapati kandungan logam berat seperti merkuri, kadmium dan plumbum dalam sampel kerang berada di bawah had maksimum yang dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983,”katanya lagi.
Ujarnya, analisis biotoksin menggunakan kaedah High-Performance Liquid Chromatography (HPLC) turut merekodkan bacaan toksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) pada tahap rendah dan selamat.
“Analisis mikroskopi terhadap sampel air juga mengesahkan tiada kehadiran mikroalga toksik seperti Alexandrium spp., Dinophysis spp. dan Pseudo-nitzschia spp. yang boleh menyebabkan fenomena air pasang merah (red tide).
“Selain itu, bacaan ammonia dan nitrat didapati mematuhi Standard Kualiti Air Kebangsaan Kelas IIA bagi pemeliharaan hidupan akuatik sensitif, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, orang awam tidak perlu panik kerana hasil analisis yang dijalankan mengesahkan sumber perikanan di Kuala Juru masih selamat untuk dimakan dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna.
“DOF akan meneruskan pemantauan secara berkala terhadap aspek biosekuriti dan kualiti perairan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara, ”tambahnya lagi -SUARA.TV



