Serangan jantung, strok dan darah beku bukan berpunca vaksin AstraZeneca (AZ)- Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang berlaku kini tiada kaitan dengan vaksin AstraZeneca.

Hal ini memandangkan tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin AstraZeneca sejak kebelakangan ini.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes penyakit itu masih berlaku ketika ini disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol dan masalah kencing manis.

“Orang ramai diminta membezakan antara kesan sampingan darah beku Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT) dengan masalah pembekuan darah yang lain.

“Kriteria diagnosa VITT mestilah ia berlaku dalam sela masa empat minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah.

“Diagnosa tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan,” katanya menerusi ciapan di aplikasi X pada Selasa.

Jelas Dr Noor Hisham, semua pihak perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kesan sampingan yang dikatakan berkait dengan vaksin AZ adalah kesan darah beku atau VITT.

“Ia adalah penyakit di mana darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksinasi.

“Orang ramai diminta tidak bimbang kerana vaksinasi terakhir AstraZeneca telah berlalu bertahun lamanya. Kes mahkamah yang diuar-uarkan adalah kes yang berlaku di United Kingdom (UK) ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Tambah beliau, vaksin berkenaan masih perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat COVID-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi dan ketika itu stok vaksin tidak mencukupi waktu itu.

“Golongan berisiko tinggi adalah golongan yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini dan mereka tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AstraZeneca.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi bagi tidak menerima vaksin jenis ini dan juga bagi pengesanan awal sekiranya kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) berlaku,” katanya.

Katanya, selain langkah berjaga-jaga ini, insiden kesan samping darah beku VITT juga sangat rendah iaitu empat kes berlaku dalam satu setiap juta suntikan.

“Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan COVID-19 itu sendiri, ia lebih selamat.

“Selepas jangkitan COVID-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) ini adalah setinggi 165,000 kes dalam satu juta jangkitan.

“Insiden darah beku di kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1,800 kes dalam satu juta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat