KEPALA BATAS: Sebanyak 25 ekor kambing rentung selepas sebuah kandang di Jalan Permatang Kerai Besar, Kepala Batas, Pulau Pinang terbakar pada Sabtu malam.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.18 malam.
Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kandang kayu berkeluasan kira-kira 84 meter persegi musnah terbakar dengan 90 peratus struktur hangus.
“25 ekor kambing yang berada di dalam kandang tidak sempat diselamatkan kerana api marak.
“Hasil temu bual dengan pemilik kandang, dia memaklumkan, ada membuat pembakaran najis kambing pada sebelah petang.
“Pembakaran dibuat di bawah kandang tersebut sebelum api merebak sehingga membakar kandang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Api berjaya dipadamkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas pada jam 10.51 malam sebelum operasi tamat jam 11.04 malam.
Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan -Astro Awani