Kerjasama gabungan kunci kemenangan, perpaduan penentu PRU16 Sabah – Naim Moktar

KUALA LUMPUR — Kerjasama erat antara parti-parti dalam gabungan kerajaan terbukti menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan besar di Parlimen Kinabatangan, kata Ahli Parlimen kawasan itu yang baharu dilantik, Mohd Kurniawan Naim Moktar.

Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan hanya didorong oleh sokongan pengundi, sebaliknya diperkukuhkan dengan bantuan jentera daripada parti-parti lain dalam gabungan serta semangat perpaduan yang jelas di peringkat akar umbi.

“Kalau ada sokongan daripada Kerajaan Perpaduan, memang kita boleh menang besar. Itu yang berlaku di Kinabatangan. Sokongan rakan gabungan menyumbang kepada peningkatan undi yang ketara, sehingga majoriti melonjak kepada lebih 14,000 undi dengan jumlah undi hampir 19,800.

“Ini menunjukkan bahawa pengundi di Sabah memang mahukan kerajaan gabungan. Gabungan itu bukan sahaja dari segi kerajaan, tetapi juga kerjasama antara parti. Apabila Barisan Nasional bekerjasama dengan rakan gabungan, setiap calon akan mendapat kelebihan yang jelas.

“Bantuan jentera daripada parti-parti lain dalam gabungan memang sangat membantu, dan pada masa yang sama, perpaduan itu benar-benar wujud di lapangan. Ia bukan sekadar kerjasama atas kertas, tetapi dapat dilihat melalui gerak kerja bersama sepanjang tempoh kempen,” katanya dalam temu bual bersama Suara TV.

Beliau berkata, realiti politik di Sabah menunjukkan bahawa mana-mana parti sukar untuk bergerak secara bersendirian, sebaliknya memerlukan gabungan yang mantap bagi memastikan sokongan pengundi, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mengulas unjuran PRU16, beliau berkata jika kerjasama gabungan dapat diperkukuhkan, Kerajaan Perpaduan Sabah berpotensi untuk mengekalkan majoriti kerusi Parlimen.

“Daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, saya melihat Kerajaan Perpaduan berpotensi mengekalkan sekitar 21 kerusi jika perpaduan ini benar-benar dijaga. Selebihnya mungkin akan menjadi persaingan dengan parti lain seperti Warisan atau calon bebas.

“Kalau gabungan ini terus dijaga dengan baik dan perpaduan dalam kerajaan kekal kukuh, saya percaya Kerajaan Perpaduan Sabah mempunyai peluang yang cerah untuk mengekalkan kemenangan pada PRU akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh keperluan untuk mengetengahkan calon muda lebih awal, selari dengan pandangan yang sering disuarakan oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, bekas Ketua UMNO Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan.

“Allahyarham sering menekankan supaya calon muda diberi peluang, tetapi peluang itu perlu disertai dengan persediaan. Calon muda ini tidak boleh hanya muncul ketika pilihan raya, sebaliknya perlu dibentuk lebih awal supaya mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab.

“Kita boleh lihat contoh di Indonesia, khususnya parti seperti Golkar, bagaimana mereka mengetengahkan pemimpin muda lebih awal. Anak muda ini diberi ruang menggunakan platform sebagai Ahli Parlimen untuk bekerja, turun ke kawasan dan bina keyakinan rakyat sebelum dipertaruhkan dalam pilihan raya yang lebih besar,” jelasnya.

Terdahulu, Mohd Kurniawan Naim Moktar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu susulan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.

Pada PRK tersebut, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan penguasaan di kerusi berkenaan apabila Naim memperoleh 19,852 undi dengan majoriti besar 14,214 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat