Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri (JPM) melakar pencapaian signifikan dalam reformasi penyampaian perkhidmatan awam apabila berjaya memproses 98 peratus (%) permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 setakat 21 Januari lalu.
Ketua Pengarahnya, Meor Ismail Meor Akim berkata sebanyak RM78.342 juta telah dibayar terus kepada 78,342 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan sejak MTL bermula pada 13 November tahun lepas.
“Transformasi ini menyaksikan tempoh pembayaran BWI dipendekkan secara drastik kepada purata kurang 14 hari bekerja pada episod 1-2 MTL dan pada episod MTL
seterusnya purata kurang 3-7 hari bekerja selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup berbanding proses sebelum ini yang lazimnya mengambil masa lebih 6 bulan.
“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama strategik antara NADMA, Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui
inisiatif pendigitalan mengunakan aplikasi MyIBJKM di bawah agenda Kerajaan
MADANI,”katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, aplikasi MYIBJKM hanya boleh mengimbas kod QR unik Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan yang mempunyai perimeter geo-fencing 60 meter, agar hanya mangsa dari kediaman terkesan yang ke PPS tersebut sahaja boleh mengimbas kod QR dan memohon BWI.
Menurutnya lagi, bukti pendaftaran dan permohonan BWI kini di tangan pemohon yang tersimpan dalam aplikasi MyIBJKM (pengesahan digital mangsa bencana dan ruangan klik BWI berwarna hijau).
“Setiap mangsa yang layak menerima bantuan RM1,000 (samada menetap atau tidak di PPS) akan menerima notifikasi SMS memaklumkan samada bantuan dikreditkan terus ke akaun pemohon atau hadir untuk kutipan tunai di kaunter BSN (bagi mereka yang tiada nombor akaun atau butiran akaun salah/tidak lengkap).
“Kaedah ini dilaksanakan bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan keperluan dokumen fizikal serta pengesahan yang berlapis-lapis di pelbagai peringkat, ”katanya.
Katanya lagi, bagi memastikan tiada mangsa yang tercicir, NADMA sedang memberi tumpuan untuk menyelesaikan baki permohonan yang berstatus kuiri atas beberapa faktor antaranya terdapat pemohon bukan dari rumah kediaman persendirian, alamat yang sama oleh pemohon berlainan, maklumat ahli keluarga yang tidak lengkap, dan permohonan berganda daripada ahli isi rumah yang sama.
“Bayaran akan diselesaikan segera sebaik sahaja pemohon mengemas kini MyIBJKM maklumat dan alamat (seperti di bil utiliti).
“Bagi mangsa banjir yang tidak sempat ke PPS, NADMA menyediakan kaedah alternatif dan telah mengarahkan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk membuka Pusat Pendaftaran Mangsa (PPM) di lokasi-lokasi yang dikenalpasti oleh JPBD, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, permohonan masih boleh dibuat dan tetap menggunakan aplikasi MyIBJKM. Pemohon perlu membawa bersama dokumen seperti laporan polis, gambar rumah terkesan, bil utiliti, serta salinan kad pengenalan
semua ahli rumah yang duduk bersama bagi melancarkan proses imbasan kod QR unik di lokasi dan tempoh yang ditetapkan oleh JPBD.
“NADMA memohon kerjasama daripada wakil komuniti seperti penghulu atau ketua kampung untuk menghimpunkan komuniti terkesan dan menyemak dengan JPBD untuk pendaftaran di PPM supaya tiada lagi mangsa
tercicir.
“NADMA terus komited untuk memperkukuh sistem pengurusan bencana negara melalui pendekatan digital. Kejayaan pelaksanaan ini menjadi penanda aras baharu dalam penyampaian bantuan pasca bencana,”tambahnya.
“Pelaksanaan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan bantuan kepada mangsa bencana dapat disampaikan dengan lebih pantas, telus dan berkesan demi meringankan beban rakyat yang terkesan.
“Mangsa disantuni, bantuan diberi, sedekad NADMA berbakti, ”tambahnya lagi.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai BWI, pemohon boleh menghubungi talian NADMA di 03-8870 4852, 03-8870 4813, atau melalui e-mel rasmi di [email protected].
-SUARA.TV



