KUALA LUMPUR – Sebanyak 85 peratus pemegang akaun domestik iaitu sekitar 7.5 juta orang tidak akan terjejas dengan sebarang perubahan kadar tarif elektrik dan masih dilindungi kerajaan sehingga Jun 2025.
Ketua Pegawai Kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Nazmi Othman berkata, kadar tarif semasa yang sudah diguna pakai sejak 2014 tidak akan memberi kesan signifikan kepada golongan rentan itu.
Pun begitu kata beliau, kerajaan sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu dan kos pembekalan elektrik sebenar yang lebih kompetitif menjelang Julai 2025.
“Kalau mengikut polisi semasa mereka memang dilindungi, tetapi sebarang perubahan selepas Jun 2025 bergantung kepada keputusan kerajaan.
“Kerajaan ada masa untuk tetapkan tarif menjelang Julai tahun depan. Setiap enam bulan memang dikaji mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT). Daripada situ kita lihat ada rebat atau surcaj.
Beliau berkata demikian ketika taklimat bersama media di Pusat Konvensyen Leo Moggie, TNB Platinum, pada Jumaat, lapor Sinar Harian.
Hadir sama, Ketua Pegawai Pengurusan Kawal Selia dan Pihak Berkepentingan TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan bersetuju supaya kadar rebat dan surcaj tarif elektrik berdasarkan ICPT dikekalkan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.
Namun, jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) masih di peringkat cadangan.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), lebih RM2.3 juta subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai kerajaan.
Tambahnya lagi, penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi TNB di bawah RP4 akan bermula 1 Januari tahun depan hingga 31 Disember 2027.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut penjelasan TNB berhubung cadangan kenaikan tarif elektrik.
Kata Menteri Kewangan itu, kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang bakal menjejaskan orang ramai tegas.
Menurut beliau, meskipun beliau memahami keperluan menaikkan tarif elektrik namun mengingatkan kenaikan itu tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada rakyat terbanyak.
“Berkenaan pengumuman Tenaga Nasional Berhad (TNB) tentang kenaikan elektrik, tadi saya dah hubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof, menteri yang bertanggungjawab (Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) untuk minta TNB beri penjelasan.
“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai.
“Kenaikan seperti mana yang dulu itu hanya melibatkan golongan atasan yang saya sebut mahakaya, atau pun industri yang mencatat keuntungan. Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenaikan elektrik, walaupun saya faham kos meningkat.
“Walaupun kos meningkat, tidak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat. Ini dari segi dasar (Kerajaan).
“Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat. Secara terperincinya, TNB dan TPM Fadillah akan menjelaskan,” jelas Anwar di Masjid Al-Hana, Langkawi di Kedah, pada Jumaat.
baca juga : “Saya faham keperluan tarif elektrik naik, tapi jangan sampai jejaskan rakyat” – Anwar