KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang bakal menjejaskan orang ramai tegas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Menteri Kewangan itu meskipun beliau memahami keperluan menaikkan tarif elektrik namun mengingatkan kenaikan itu tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada rakyat terbanyak.
“Berkenaan pengumuman Tenaga Nasional Berhad (TNB) tentang kenaikan elektrik, tadi saya dah hubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof, menteri yang bertanggungjawab (Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) untuk minta TNB beri penjelasan.
“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai.
“Kenaikan seperti mana yang dulu itu hanya melibatkan golongan atasan yang saya sebut mahakaya, atau pun industri yang mencatat keuntungan. Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenaikan elektrik, walaupun saya faham kos meningkat.
“Walaupun kos meningkat, tidak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat. Ini dari segi dasar (Kerajaan).
“Saya faham keperluan naik, tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat. Secara terperincinya, TNB dan TPM Fadillah akan menjelaskan,” jelas Anwar di Masjid Al-Hana, Langkawi di Kedah, pada Jumaat.
Terdahulu TNB memaklumkan kepada Bursa Malaysia semalam, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025.
Perubahan itu akan berlaku di bawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) selama tiga tahun yang akan berkuat kuasa dari Januari 2025 hingga Disember 2027.
Bagaimanapun, untuk enam bulan pertama RP4 sehingga Jun 2025, tiada perubahan dalam kadar tarif elektrik dan struktur tarif.