Inflasi Harga Makanan Global Perlu Kerjasama Antarabangsa- Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kawalan harga barang dalam tempoh krisis perlu kerjasama peringkat antarabangsa bagi tujuan mengawal inflasi harga makanan global,” cadang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam ucaptama beliau di Forum Ekonomi China Sedunia 2021, Najib memberitahu dunia sedang mengalami impak besar akibat COVID-19.

“Banyak nyawa yang terkorban, harga saham menjunam serta gangguan terhadap rantaian bekalan. Dunia menderita kesan pasca-pandemik berikutan permintaan semakin lemah dan sumber bekalan yang tidak menentu.

“Penduduk di seluruh dunia terkesan dalam aspek pendapatan, wang simpanan dan mata pencarian mereka telah berkurangan ekoran penutupan sempadan selama berbulan-bulan yang menghalang mereka daripada mencari nafkah. Namun apabila ekonomi dibuka semula, mereka berdepan pula dengan kenaikan harga makanan yang melonjak secara mendadak.

“Apabila dompet rakyat terkesan, mereka akan merungut tetapi apabila perut atau keluarga mereka menjadi mangsa, ia adalah soal hidup dan mati. Ibarat kata pepatah Melayu, sudah jatuh ditimpa tangga,” kata Najib dalam forum anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) pada Isnin.

Selain itu, beliau turut menggesa dunia untuk bersama-sama mewujudkan infrastruktur vaksinasi global, kerana vaksinasi mega adalah satu-satunya cara untuk mengawal pandemik dan mengehadkan kesan kepada ekonomi dunia.

“Kita mesti bangunkan struktur yang pelbagai bagi memastikan perjalanan vaksin dari makmal ke tangan lebih ramai penduduk dapat dilakukan dalam tempoh yang lebih singkat.

“Oleh itu, saya menyeru negara-negara di seluruh dunia untuk mula melabur di Malaysia dan ASEAN sebagai hab serantau bagi membolehkan rantau ini mengeluarkan vaksin secara kendiri agar impak pandemik ini dapat ditangani oleh ASEAN dengan lebih efektif,” ujarnya.

Dalam pada itu, Najib turut percaya bahawa dunia harus memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas sedia ada seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) agar peluang dalam perjanjian itu boleh digunakan untuk menurunkan tarif dan kos operasi dalam perniagaan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia.

Forum Ekonomi China Sedunia 2021 ialah forum tahunan yang menghimpunkan 250 delegasi yang terdiri daripada pemimpin dunia, kapten industri, usahawan baharu dan yang telah bertapak, pemimpin masa hadapan dan belia pemacu perubahan bagi membincangkan isu ekonomi melibatkan kuasa besar global yang semakin memuncak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat