Kempen boikot barangan Israel dan penyokongnya adalah jihad ekonomi – Hadi Awang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kempen pemulauan barangan Israel dan penyokongnya adalah salah satu jihad ekonomi dan menentang pencerobohan, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pun begitu beliau berkata, terserlah dalam kalangan mereka yang dinamakan ustaz, ulamak, atau ‘pendakwah bebas yang terbabas’ mempertikaikan tindakan pemulauan atau penyekatan sumber tanpa bertafaqquh (tidak memahami kaifiat pelaksanaan ilmu).

Begitu juga mereka yang hatinya bersama Zionis mendedahkan isi hati yang sebenar sehingga terkeluar melalui lisan dan tulisan, ujar beliau.

“Kini, kempen memulaukan barangan Israel dan negara yang membantu Israel sedang giat dilakukan. Hal ini disebabkan Israel sedang membunuh umat Islam di Palestin dengan melampaui batas sifat kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa yang dipersetujui oleh semua negara dan mereka yang berperikemanusiaan.

“Amerika Syarikat, Britain, dan beberapa negara sekutu mereka mengisytiharkan sokongan sepenuhnya kepada Israel. Sokongan itu termasuklah melalui pemberian senjata dan harta oleh pemimpin dan syarikat perniagaan Yahudi dan bukan Yahudi yang tergolong dalam pertubuhan Zionis.

“Maka pemulauan barangan mereka ialah salah satu jihad dalam aspek ekonomi dan menentang pencerobohan,” tegas Ahli Parlimen Marang itu.

Jelas Hadi, dalam tajuk pemulauan ekonomi, pemulauan barangan, atau sekatan bekalan, perkara ini termasuk dalam maksud jihad yang memberikan makna konsep yang luas dan umum daripada al-Quran dan Sunnah Nabawiah yang mentafsirkannya.

Kemudian, konsepnya dipanjangkan oleh para ulamak pada setiap zaman dengan mengambil iktibar ketika menghadapi musuh pada zaman Rasulullah SAW, melalui penurunan ayat al-Quran yang menjadi petunjuk sepanjang zaman serta dihuraikan oleh hikmah Sunnah Nabawiah.

“Berjihad hendaklah dengan harta dan jiwa raga. Dengan harta itu adalah dengan memberikan sumbangan bagi persediaan dan bekalan kepada yang menegakkan Islam untuk memenangkannya secara damai atau melalui peperangan. Termasuklah berjihad dengan harta itu secara melemahkan musuh Islam dari segi ekonomi dan menyekat bekalannya.

“Apa-apa sahaja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Sebahagian daripada kekuatan itu ialah harta sendiri dan melemahkan harta musuh.

“Hal ini termasuk serangan ekonomi yang dilakukan oleh musuh Islam terhadap umat Islam, maka hendaklah membalas dengan tindakan ekonomi juga. Terdapat kalangan yang menyumbang kepada pihak musuh Islam, maka tindak balas terhadap mereka juga adalah diwajibkan,” katanya dalam catatan Minda Presiden PAS.

Hadi menyatakan, peperangan yang dilancarkan oleh Zionis kini terhadap Gaza dengan cara yang paling melampau, tanpa perikemanusiaan, dan tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa dimulakan dengan pendahuluan yang paling melampau oleh kumpulan Yahudi Zionis yang merampas bumi Palestin daripada penduduk asalnya, bangsa Arab yang kini menganut Islam.

“Alasan mereka ialah bagi menubuhkan semula negara agung bangsa Yahudi yang pernah dipimpin oleh Nabi Sulaiman AS dan menjadi kuasa tunggal yang menguasai dunia.

” Zionis yang menguasai ekonomi dan media berjaya mempengaruhi kuasa besar dunia kini, khususnya Amerika Syarikat dan negara sekutunya Britain serta lain-lain negara yang menjadi penyokong kuat Israel dan membantu dengan pelbagai jenis senjata, termasuk senjata pemusnah.

“Zionis juga menanam fahaman paling melampau bahawa bangsa Yahudi ialah manusia sebenar yang paling mulia. Adapun bangsa lain dinamakan mereka sebagai ‘goyim’ (binatang berwajah manusia), maka boleh dibunuh sewenang-wenangnya.

“Kini, mereka melakukan tindak-tanduk di kemuncaknya apabila golongan pelampau Zionis menceroboh Masjid al-Aqsa dan mahu melakukan upacara membakar lembu merah. Mengikut kepercayaan mereka, mereka mahu menaburkan abu pembakaran tersebut di dalam Masjid al-Aqsa bagi upacara mendirikan Haikal (Kuil Agung) Sulaiman agama Yahudi di situ. Mereka mendapat bantuan senjata secara terbuka dan kewangan daripada negara Barat serta pihak yang menguasai ekonomi dan perdagangan.

“Hamas bertindak cepat di luar dugaan terhadap Israel bersama semua kumpulan Islam dan kebangsaan Palestin, termasuk kumpulan yang beragama Kristian. Tindakan pantas yang dinamakan ‘Taufan al-Aqsa’ mengejutkan Israel sehingga negara yang menyokongnya datang bersatu dan bersekutu laksana bala tentera Ahzab yang menguji umat Islam, termasuk di Malaysia sehingga mendedahkan siapa yang sebenarnya beriman dan munafik,” ujarnya.

Maka tegas Hadi lagi, umat Islam wajib mengambil tahu dan memahami serta menyertai bagi menghadapi mereka mengikut kedudukan masing-masing demi mempertahankan Islam dan umatnya dengan harta dan jiwa raga, termasuk melalui tindakan politik, ekonomi, media, dan ketenteraan.

“Maka, tindakan memulaukan barangan pihak yang menyumbang kepada Zionis adalah sangat penting.

“Oleh sebab itu, tidak hairan apabila penyokong Zionis yang berada di Malaysia tidak dapat menyembunyikan apa-apa yang ada dalam hati mereka walaupun mengadakan banyak alasan.

“Sikap mereka nyata tidak senang dengan semangat rakyat Malaysia yang berkobar-kobar dan sanggup berjihad sehingga kanak-kanak pun mengangkat senjata mainan.

“Akan tetapi, ada yang menjadi syaitan membela keganasan Israel yang menyerang hospital, sekolah, dan asrama, selain membunuh rakyat yang sebahagian besar mangsanya ialah kanak-kanak, kaum wanita, dan pesakit yang sedang dirawat.

“Mereka yang jahil murakab dalam perkara agama pernah dipergunakan oleh penjajah dahulu bagi memadamkan semangat jihad dan semangat menentang penjajahan yang ada dalam jiwa penganut Islam yang bersimpati dengan saudara seagama yang dizalimi secara melampau,” katanya.

Media yang nyata memusuhi Islam memberi mereka yang jahil murakab itu tempat mendedahkan kejahilan melalui lisan dan tulisan, antaranya ialah tidak senang dengan doa dan qunut Nazilah yang sebenarnya boleh dijadikan doa di mana-mana sahaja.

Menurut beliau, keadaan ini mendedahkan kejahilan mereka berkenaan Islam yang boleh menjadi alat kepada bala penyokong Zionis, yang mendedahkan dan mengoyak topeng pada wajah mereka dengan tulisan dan lisan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat