KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin parti Bersatu telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti.
Setiausaha Agung bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 November 2023 ini antara lain akan membincangkan kedudukan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
“Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga antara lain membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
“Lembaga Disiplin parti telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti,” tegas Hamzah dalam kenyataan pada Jumaat.
Surat tunjuk sebab itu dikemukakan susulan tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar berkenaan yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
Perkembangan sama, Hamzah memaklumkan, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat ketetapan bahawa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berlangsung dari 23 hingga 25 November 2023, bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.
“Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU akan dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Dr. Radzi Jidin. Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bermula dengan perasmian sayap-sayap Bersatu pada 23 November 2023, sebelum diikuti Perhimpunan Agung pada 24 dan 25 November 2023.