Najib Saman Tommy Thomas Berkaitan Isu Pembunuhan Altantuya

- Advertisement -

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memfailkan satu lagi saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Kali ini, saman tersebut adalah berkaitan dengan buku tulisan Tommy yang bertajuk Justice in the wilderness yang diterbitkan pada Januari lalu.

Saman itu difailkan hari ini melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Tommy dan penerbit buku tersebut, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn. Bhd. (Gerakbudaya) sebagai defendan pertama dan kedua.

Menurut pernyataan tuntutannya, Najib selaku plaintif mendakwa defendan kedua telah menerbitkan perenggan-perenggan yang berbaur fitnah bertulis (libel) pada Bab 24 buku berkenaan yang bertajuk Altantuya.

Ujarnya, mana-mana pembaca buku berkenaan boleh mengetahui bahawa bab tersebut merujuk kepada Najib.

“Petikan-petikan berbaur fitnah itu telah diterbitkan dan diulang terbitannya di pelbagai laman sesawang, blog dan media. Walaupun tuduhan-tuduhan terhadap plaintif adalah berat namun defendan-defendan tidak membuat sebarang percubaan untuk mengesahkan fakta-fakta berkenaan dengan plaintif atau memberi peluang kepada plaintif untuk memberikan komen terhadap pernyataan tersebut,” kata Najib.

Ujar Najib, perenggan-perenggan tersebut antara lain membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sedangkan Mahkamah Persekutuan telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

“Defendan pertama (Tommy) ketika menulis buku tersebut dengan sengaja menanamkan ‘benih’ keraguan dan ketidakpercayaan dalam minda pembaca bahawa plaintif bertanggungjawab dalam pembunuhan Altantuya dan berkonspirasi dengan mereka yang telah didapati bersalah dalam kes itu,” kata Najib dalam penyataan tuntutannya.

Disebabkan penerbitan buku tersebut, Najib mendakwa beliau telah dimalukan dan telah menyebabkan reputasinya tercalar.

Oleh itu, Najib memohon satu perintah agar defendan memadamkan perkataan-perkataan yang berbaur fitnah dalam buku tersebut.

Beliau juga memohon perintah injunksi bagi menghalang Tommy dan penerbit tersebut atau mana-mana ejen mereka daripada mengeluarkan pernyataan yang sama atau seakan-akan merujuk kepada Najib.

Plaintif turut memohon permohonan maaf daripada kedua-dua defendan yang akan diterbitkan dalam akhbar pilihan Najib selama tiga hari.

Selain itu, Najib menuntut satu akujanji daripada defendan untuk tidak menerbitkan tuduhan atau komen berbaur fitnah itu.

Najib turut menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat