TAWAU,– Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, sebagai calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.72 Merotai pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan laporan portal Suara.TV https://suara.tv/30/06/2025/umno-sabah-setuju-korbankan-tempasuk-dan-merotai-kepada-pkr/pada Jun lalu yang memetik sumber bahawa Ruji bakal dicalonkan di kawasan berkenaan.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Sabah memerlukan kepimpinan berwibawa serta calon yang benar-benar dekat dengan rakyat, bukan politik yang memecahbelahkan.
“Yang penting kita mesti ada kesatuan. Jangan ada permusuhan – bukan Melayu lawan Cina, bukan Dusun lawan Kadazan, bukan Sabah mahu lawan Semenanjung. Pilih orang Sabah yang baik, pilih orang Semenanjung yang baik untuk menjaga rakyat. Ajak bergaduh dengan saya buat apa? Saya kasih kepada rakyat kerana saya sendiri pernah hidup derita,” katanya ketika berucap pada Himpunan Temui Rapat Umum di Merotai, malam ini.
Menurut Anwar, PRN Sabah ke-17 adalah medan penting untuk memilih wakil rakyat yang mampu membawa suara rakyat, mengangkat martabat orang Sabah serta memperjuangkan kepentingan Malaysia secara keseluruhan.
“Sebagai calon, dia mesti faham, mesti wakili semangat orang Sabah, dan mesti mengangkat darjat rakyat Malaysia. Jangan hanya tabur janji ibarat bulan dan bintang, tetapi mesti membawa perubahan melalui pembangunan dan teknologi,” katanya.
Pada majlis itu, Anwar turut memperkenalkan Ruji, anak jati Kampung Haji Matahir, Tawau, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara. Anwar menyifatkan beliau seorang yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.
“Saya kata kepadanya, sudah sampai masa kamu balik kampung dan jaga rakyat,” tambah Anwar. -Suara.TV



