Oleh Zihan Zari
SERDANG – National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) telah melakarkan pencapaian penting dengan pelancaran Bioteknologi Sandbox, sebuah inisiatif strategik yang dilaksanakan bersama National Technology and Innovation Sandbox (NTIS).
NTIS yang merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di mana Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) ditugaskan sebagai sekretariat utama, telah menyokong lebih 220 projek dan mengkomersialkan 80 teknologi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Beliau berkata, daripada 80 teknologi ini, nilai pengkomersialan sebanyak RM158 juta telah dijana dan sebanyak 9 teknologi pula berjaya di eksport dengan nilai eksport berjumlah RM245 juta.
“Melalui Bioteknologi Sandbox ini, usahawan, penyelidik dan syarikat pemula (startup) bioteknologi dapat menguji, membangun serta menambah baik prototaip dalam persekitaran terkawal sebelum dibawa ke pasaran sebenar,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Pelancaran Program Rintis Sandbox Bioteknologi 2025 dan Hari Terbuka NIBM 2025 di Ibu Pejabat NIBM, dekat sini pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh
Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D MOSTI, Boniface anak Edwin Manung.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif NIBM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim FASc; Pengerusi MRANTI, Prof Dr. Rofina Yasmin Othman; Ketua Pegawai Strategi MRANTI, Khalid Yashaiya; Ketua Pegawai Kewangan NIBM, Azlina Abdul Ajis; Pengurusan MOSTI, NIBM dan MRANTI.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata
Hari Terbuka NIBM bertemakan “Meraikan Sains, Mengiktiraf Saintis”, bertujuan memupuk minat generasi muda terhadap bioteknologi, memperkukuh kolaborasi antara penyelidik, industri dan masyarakat, serta meningkatkan kesedaran tentang peranan saintis dalam pembangunan negara.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa menghargai sumbangan para saintis dan penyelidik yang komited memajukan bidang sains melalui kajian, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan yang dapat memberi banyak faedah kepada masyarakat serta negara.
“Melalui inisiatif NIBM, bioteknologi kini dimanfaatkan secara meluas, antaranya dalam bidang kesihatan awam melalui Projek MyGenom, pembangunan fasiliti GMP vaksin manusia, pembangunan produk ubatan tradisional berasaskan sains, penginovasian bidang agro-biotek serta perkhidmatan seperti kajian pra-klinikal bagi memastikan produk selamat di pasaran,”ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif NIBM, Dr. Raha Abdul Rahim berkata, Hari Terbuka NIBM bertujuan memberi pendedahan sektor bioteknologi kepada generasi muda, memupuk kolaborasi strategik antara penyelidik, industri, dan masyarakat serta mempromosikan kepentingan bidang bioteknologi dalam pembangunan negara.
Katanya, peranan NIBM dalam Bioteknologi Sandbox merangkumi penyediaan teknologi, fasiliti makmal dan infrastruktur, serta berfungsi sebagai penghubung antara industri, pasaran dan aspek regulasi.
“Kami yakin pelaksanaan ini akan menyerlahkan keupayaan NIBM dalam menyumbang kepada agenda pengkomersialan R&D negara.
“Bioteknologi Sandbox ini memberi tumpuan kepada bidang utama termasuk kultur tisu, akuakultur, rumah hijau herba serta rumpai laut yang menjadi keutamaan penyelidikan NIBM.
“Melalui pelaksanaan ini, penggunaan bioteknologi dalam bidang pertanian dijangka dapat menyumbang kepada jaminan makanan serta berpotensi menghasilkan impak sehingga 50 % ( peratus) pengurangan tenaga kerja, 30% peningkatan produktiviti dan 20% pengurangan kos, ”katanya lagi.
Pada masa yang sama,Pengerusi MRANTI, Prof Dr. Rofina Yasmin berkata, bahawa sebagai sekretariat utama NTIS, pelancaran Bioteknologi Sandbox bersama NIBM membuktikan bagaimana kerjasama strategik dapat mempercepat pengkomersialan bioteknologi, sekali gus memposisikan Malaysia sebagai peneraju bioinovasi di rantau ini.
Tambahnya, MRANTI juga sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan rakan industri, akademia dan agensi lain bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara.
Pelbagai aktiviti menarik sempena Hari Terbuka NIBM 2025 termasuk pameran, technology pitching, lawatan makmal, aktiviti hands-on serta pertandingan inovasi pelajar sekolah.
Program ini memberi pengalaman praktikal kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat peranan NIBM serta memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap kepentingan bioteknologi dalam kehidupan seharian.-SUARA.TV



