RMK-12: Projek ECRL, Central Spine Road dan Lebuh Raya Pan Borneo diteruskan : PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Central Spine Road (CSR) dan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) yang akan memberi impak besar kepada pembangunan negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Jelasnya lagi, Rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar juga akan dipertingkatkan.

“Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun 2022 dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang merupakan jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor dijadualkan siap pada tahun 2023;

“Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan dijangka siap pada tahun 2026;

“Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura akan mula dibina pada hujung tahun 2021,” umum Perdana Menteri Ketika membentangkan RMK-12, di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu katanya lagi, Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024, Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025; dan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memfokuskan Sembilan agenda dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memulih serta menjana semula ekonomi negara dengan kerajaan memperuntukkan RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMK12.

Ujarnya, RMK-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama. Bagi tujuan ini, tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMKe-12.

Berobjektifkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, RMK12 bukan hanya untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya membolehkan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Jelas beliau lagi, RMK12 berpaksikan sembilan fokus utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pemangkin pertumbuhan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia, memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam, membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat