Tak boleh cuti, tak boleh naik pangkat juga buli – Azalina

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC) kini sedang meneliti pelbagai undang-undang yang diwujudkan sejak zaman penjajahan, termasuk yang mempunyai peruntukan bertindih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara perundangan yang sedang dinilai semula membabitkan hukuman sebat mandatori.

“Ya, kami sedang melihat peruntukan undang-undang membabitkan hukuman sebat dan salah satu cabaran terbesar hari ini adalah untuk melihat hukuman sebat membabitkan kesalahan apa.

“Ada banyak jenis hukuman kerana ada dalam undang-undang kita yang dibuat pada zaman penjajahan lagi.

“Saya akui ada antara undang-undang kita yang bertindih, jadi kita perlu pertimbangkan perkara ini. Dan kemudian kita bercakap mengenai (pesalah) berusia bawah 18 tahun. Kita tidak boleh suka-suka mengenakan hukuman sebat terhadap kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang, di Putrajaya pada Rabu.

Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan bertulisnya yang dimuat naik di laman web Parlimen semalam, mengenai satu kajian menyeluruh sedang dijalankan bagi meneliti keberkesanan hukuman sebat mandatori di Malaysia.

Dalam jawapan bertulis itu, beliau berkata, langkah itu selaras dasar Kerajaan MADANI yang berteraskan prinsip keinsanan, keadilan dan akauntabiliti.

Beliau dilaporkan berkata, ia diselaraskan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, melalui penubuhan Jawatankuasa Kecil Kajian Pemansuhan Hukuman Sebat Mandatori yang akan mengemukakan laporan serta syor kepada CLRC untuk penelitian lanjut.

Ditanya keperluan untuk meminda mana-mana peruntukan yang bertindih selepas wujud undang-undang baharu, Azalina berkata, pihak terbabit dalam menggubal undang-undang perlu melihat setiap akta terbabit kerana setiap Kementerian mempunyai prosedur masing-masing.

Mengambil contoh isu buli yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini, katanya, setiap kementerian ada prosedur operasi standard (SOP) untuk itu.

Katanya, jenayah gangguan misalnya wujud dalam Kanun Keseksaan, tetapi ia juga wujud dalam Akta Buruh dan Akta Perindustrian terutama sekali membabitkan pekerjaan.

“Sama juga dalam elemen buli. Tak semestinya buli kanak-kanak di sekolah. Buli tak dapat naik pangkat, buli suruh pekerja junior buat kerja, dia bawa kereta lepas waktu pejabat. Tak boleh naik pangkat. Tak boleh cuti itu pun buli. Jadi buli ni bukan saja pada elemen kanak-kanak dan buli ni bukan saja fizikal.

“Buli boleh (jadi) penderaan lisan (verbal abuse), boleh mental. Kadang-kadang penderaan mental ni lagi susah nak dibuktikan.

“Itu sebab kalau semua nak masuk mahkamah, prosedur ni makan masa, tapi kalau kita ada sistem tribunal dalam kes-kes buli kerana saya selalu percaya kemungkinan hukumannya lebih kepada rehabilitasi.

“Seperti gangguan seksual pun, ia membabitkan kelemahan akhlak. Nak kata betul orang itu (melakukan) jenayah, itu aspek yang lain. Itu ada Kanun Keseksaan,” katanya, lapor BH.

Pun begitu, beliau berkata, apabila membabitkan kanak-kanak, perlu ada sikap berhati-hati dalam pelaksanaan proses undang-undang kerana ia membabitkan prosedur tertentu walaupun sudah ada peruntukan undang-undang membabitkan kesalahan berkenaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat