KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap meneruskan pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) di Parlimen pada Khamis ini walaupun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen pembangkang.
RUU URA itu dibentangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming selepas bacaan kali pertama dibentangkan pada 21 Ogos lalu selepas melalui beberapa peringkat seperti draf akhir ke Pesuruhjaya Undang-undang (AGC), Jemaah Menteri dan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.
RUU tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan Pusat bagi mempercepat pembangunan semula kawasan bandar lama dan uzur.
Sejak Disember 2024, telah diadakan 74 sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak seperti badan profesional, pemaju, Badan Pengurusan Bersama (JMB), kerajaan negeri, universiti dan orang awam. RUU tersebut menetapkan ambang persetujuan 80 peratus bagi bangunan berusia 30 tahun ke bawah, 75 peratus bagi bangunan lebih lama, dan hanya 51 peratus untuk bangunan terbengkalai.
Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menegaskan bahawa RUU ini tidak akan menyebabkan pemilik tanah atau premis tergugat hak milik mereka, status tanah seperti Rizab Melayu atau milik strata akan dikekalkan.
Begitu juga, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menekankan bahawa pelaksanaan RUU memerlukan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan, bukan melalui pengambilan secara paksa, lapor Utusan pada Rabu.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Terengganu bersama tiga lagi negeri gabungan SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) iaitu Kelantan, Kedah dan Perlis menolak RUU URA.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan-kerajaan negeri terbabit menyifatkan RUU tersebut sebagai mencabar kuasa autonomi negeri, khususnya dalam hal berkaitan perancangan bandar dan pengurusan tanah yang sememangnya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri menurut Perlembagaan Persekutuan.
“RUU ini turut dilihat berpotensi menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi bandar, terutama melibatkan penduduk Melayu dan bumiputera yang selama ini bergantung kepada warisan tanah dan penempatan bersejarah sebagai asas sosioekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan bersama.
Beliau turut mempersoal ketelusan kandungan RUU berkenaan, khususnya berhubung mekanisme pampasan dan perlindungan yang sepatutnya ditawarkan kepada penduduk terlibat sekiranya pembangunan semula dijalankan.
Menurutnya, ketiadaan perincian dalam hal ini boleh menimbulkan ketidakadilan serta membuka ruang kepada eksploitasi terhadap golongan berpendapatan rendah dan pemilik tanah tradisi.
Kata beliau, kerajaan SG4 juga bimbang RUU ini bakal melebarkan jurang antara komuniti, mengganggu keharmonian masyarakat pelbagai kaum di bandar dan mewujudkan ketegangan akibat proses pembangunan yang tidak inklusif serta tidak mengambil kira suara rakyat terbabit.
“Malah, undang-undang sedia ada seperti Kanun Tanah Negara 1965, Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 sudah mencukupi untuk menangani pembangunan semula bandar secara adil dan tersusun tanpa perlu penggubalan undang-undang baharu yang bersifat pusat dan berpotensi mengenepikan suara negeri serta rakyat.
“Kerajaan Negeri Terengganu berdiri teguh bersama rakan-rakan dalam SG4 demi mempertahan hak negeri, kedaulatan rakyat serta keseimbangan pemilikan hartanah
bumiputera di negara ini,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen pembangkang yang turut membantah RUU URA bersedia digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tetap bertegas menolak RUU tersebut dan akan menentangnya secara habis-habisan bagi menuntut supaya ia ditarik balik serta tidak dibahaskan.
“Semua 68 Ahli Parlimen PN sedia berdepan hukuman digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan kerana kita serius dalam menentang RUU tersebut.
“Kita akan terus menuntut supaya RUU URA ditarik balik dan tidak akan dibahaskan esok serta tidak diluluskan. Jika tidak, kita tahu apa akan berlaku, kami tidak kisah digantung menghadiri sidang Dewan Rakyat,” katanya ketika berucap pada sesi penyerahan memorandum bantahan pembentangan RUU berkenaan di Bangunan Parlimen, semalam.
Penyokong terbabit terdiri daripada dua kumpulan iaitu PN bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Persatuan Penduduk-penduduk Wilayah Persekutuan yang hadir membantah URA.



