Jika selama ini nama Fasha Sandha sinonim dengan dunia hiburan tanah air, kini aktres terkenal itu membuktikan bahawa dirinya juga mampu berdiri sebagai seorang usahawan yang berdisiplin dan komited. Bersama suami tercinta, Aidil Aziz, pasangan ini melangkah berani membuka cawangan ke-208 Kopi Saigon di MyTOWN Cheras, sekali gus menandakan fasa baharu dalam kerjaya dan kehidupannya.
Fasha mengakui bahawa dirinya bukan asing dalam bidang perniagaan. Sebelum ini, beliau pernah menguruskan sebuah salon kecantikan selama hampir lapan tahun, pengalaman yang cukup mengajarnya tentang selok-belok mengurus pelanggan, kakitangan, dan perbelanjaan operasi.
“Bisnes memang ada naik turunnya, tetapi pengalaman itu yang mengajar saya erti disiplin dan keberanian. Apabila peluang bersama Kopi Saigon datang, saya tahu ini masa untuk melangkah lebih jauh,” katanya.
Menariknya, keterlibatan Fasha dalam dunia kopi bermula dengan pengalaman peribadi. Sejak 2021, beliau merupakan pelanggan setia Kopi Saigon dan sering membuat pesanan untuk majlis keluarga atau sambutan hari lahir.
“Saya tertarik dengan rasanya – tak muak, tak sakit kepala, dan sesuai diminum oleh semua. Sampai satu tahap, setiap kali ada majlis, orang akan cari Kopi Saigon dulu. Dari situ saya sedar, produk ini ada sesuatu yang istimewa,” jelas Fasha.
Keterikatan emosi ini akhirnya membawa beliau dan suami ke fasa seterusnya apabila ditawarkan untuk menjadi pemilik outlet.

Bersama Aidil, Fasha mengambil langkah berani dengan melaburkan kira-kira RM200,000 untuk membuka cawangan MyTOWN Cheras, yang turut dikenali sebagai ‘signature outlet’ pertama Kopi Saigon dalam pusat beli-belah.
“Apabila ditawarkan lot strategik di MyTOWN, kami tak tunggu lama. Kami percaya lokasi ini ada nilai jangka panjang untuk jenama kami,” tambah Fasha.
Berbeza dengan anggapan bahawa selebriti hanya meminjamkan nama untuk sesuatu perniagaan, Fasha dan Aidil tampil dengan pendekatan hands-on. Mereka berdua terlibat secara langsung dalam semua aspek pengurusan outlet.
“Kami sendiri belajar jadi barista, belajar pengurusan outlet, dan terlibat dalam strategi pemasaran. Ada masa, pelanggan mungkin dapat kopi terus daripada tangan saya atau Aidil. Ini bukan sekadar pelaburan wang, tetapi juga pelaburan masa dan tenaga,” katanya.
Bagi Aidil, keterlibatannya dalam perniagaan ini bukan sekadar menyokong isteri, tetapi juga kerana keyakinannya terhadap jenama Kopi Saigon.
“Saya mula tertarik dengan Peach Tea mereka, memang sedap. Bila saya tahu Kopi Saigon ini jenama tempatan, semangat saya makin berkobar. Apa yang saya kagum, minuman mereka sesuai untuk semua lapisan umur. Produk mereka sangat konsisten, itu yang membuatkan saya percaya pada jenama ini,” jelas Aidil.
Perjalanan Fasha dalam dunia perniagaan bukan sekadar kisah kejayaan individu, tetapi juga inspirasi buat wanita lain, terutama yang ingin keluar daripada zon selesa. Bagi Fasha, menjadi selebriti tidak pernah menghalangnya untuk bekerja keras seperti usahawan lain.
“Dalam bisnes, kita tak boleh hanya harapkan populariti. Kualiti produk, servis dan disiplin pengurusan adalah kunci sebenar. Saya percaya kalau kita serius, pelanggan akan nampak usaha itu,” katanya.
Kehadiran pasangan selebriti ini sebagai pemilik cawangan MyTOWN turut diraikan oleh pengasas Kopi Saigon, Asyraf Kamal, yang melihat kolaborasi ini sebagai penguat jenama ke tahap seterusnya. Dengan sasaran membuka 500 cawangan dalam tempoh 1–2 tahun, Fasha kini berada di tengah-tengah sebuah perjalanan besar yang mampu mengubah landskap F&B tempatan.



