KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Fuziah Salleh menyifatkan ucapannya ketika Majlis Pelancaran Program Kotak Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dimanipulasi oleh pihak tertentu.
Fuziah berkata, laporan yang dikeluarkan itu berniat jahat dan tidak memberi gambaran jelas mengenai usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan dalam membantu rakyat.
“Saya terkilan melihat laporan media berkenaan yang tidak menggambarkan usaha kerajaan dengan tepat. Setiap media harus lebih bertanggungjawab dan mengambil konteks penuh ucapan menteri supaya tidak menyinggung rakyat serta memberikan gambaran secara menyeluruh.
“Saya syak ada pihak berniat jahat (mala fide) kerana pandangan saya dimanipulasi,” lapor BH pada Rabu.
Sebelum ini, terdapat portal media melaporkan Fuziah menyatakan meskipun nilai RM100 kecil bagi sesetengah orang, namun bagi warga emas yang hidup berpasangan jumlah itu cukup untuk menampung keperluan bagi tempoh sebulan.
Laporan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan Fuziah tidak memahami penderitaan rakyat.
Mengulas lanjut mengenai ucapannya, Fuziah berkata, berita itu dilaporkan diluar konteks daripada maksud sebenar yang ingin disampaikannya.
“Suka saya menjelaskan pernyataan yang dibuat merujuk kepada nilai sumbangan SARA iaitu RM100 diberikan oleh kerajaan bagi membantu rakyat mendapatkan barang keperluan asas.
“Secara normalnya, apabila pembelian barang keperluan asas yang ditawarkan dalam SARA seperti sekampit beras, minyak masak, gula, tepung, sepapan telur, kicap dan lain-lain, kebiasaannya berkemungkinan mampu menampung keperluan hampir sebulan buat sesetengah warga emas yang tiada banyak tanggungan.
“Namun begitu, ia bergantung kepada keperluan mereka sekiranya memiliki tanggungan yang lebih daripada dua orang.
“Kita percaya, kerajaan sentiasa mengambil perhatian yang serius dalam membantu meringankan perbelanjaan rakyat dari semasa ke semasa.
“Kerajaan Madani akan terus mengorak langkah yang lebih mampan bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat sentiasa terbela,” katanya.



