KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming hari ini menerima lebih 100 penduduk daripada pelbagai kaum dan latar belakang berhimpun di Parlimen bagi menyokong RUU Pembaharuan Bandar (URA) 2025.
DAP dalam hantaran di Facebook berkata, penduduk juga memberi amaran kepada pembangkang Perikatan Nasional (PN) agar tidak mempolitikkan hak rakyat.
Tegas mereka, jika berterusan, mereka menuntut supaya ahli politik terbabit sendiri berpindah dan merasai kehidupan di kawasan perumahan lama yang serba daif.
“Pagi ini, lebih 100 penduduk daripada pelbagai kaum dan latar belakang berhimpun di Parlimen bagi menyokong RUU Pembaharuan Bandar.
“Mereka menyerahkan memorandum sokongan pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
“Penduduk yang hadir terdiri daripada Taman Sri Indah (Sri Petaling), Desa Bakti (Selayang) dan Flat Taman Maluri (Cheras). Mereka mendesak kerajaan segera membentangkan undang-undang baharu untuk menyelesaikan masalah perumahan usang di bandar,” katanya.



