KUALA LUMPUR – Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata ahli-ahli Parlimen tidak dapat menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 yang masih tidak lengkap dan tidak dapat meyakinkan bahawa kepentingan rakyat mendapat perlindungan maksima.
Justeru kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, pindaan RUU URA perlu dibuat untuk mengambil kira kekhuatiran rakyat.
“Di Parlimen hari ini, ramai Ahli Parlimen bercakap tentang RUU URA. Walaupun menerima banyak bantahan daripada Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang, namun menurut laporan media, Menteri KPKT, Nga Kor Ming masih mahu meneruskan pembentangan bacaan kedua RUU URA pada hari esok.
“Bagi parti MCA, setelah kita menganjurkan sesi townhall, libat urus dan perbincangan dengan pihak berkepentingan khususnya NGO, ahli-ahli Parlimen tidak dapat menyokong Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 yang masih tidak lengkap dan tidak dapat meyakinkan bahawa kepentingan rakyat mendapat perlindungan maksima. Pindaan RUU perlu dibuat untuk mengambil kira kekhuatiran rakyat.
“Adakah Nga Kor Ming berjaya? Sama-sama kita nantikan esok, yang juga hari terakhir persidangan,” kata Ka Siong.



