KOTA KINABALU – UMNO di kawasan bandar tidak boleh sekadar menumpukan perhatian kepada aktiviti politik dan pilihan raya semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuh peranan sebagai parti yang sentiasa berkhidmat kepada masyarakat.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata cabaran yang dihadapi masyarakat bandar jauh berbeza berbanding kawasan luar bandar, justeru pendekatan parti juga perlu berubah mengikut keperluan semasa.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Kinabalu di Grand InHotel, Kota Kinabalu.
Menurutnya, isu seperti kos sara hidup, perumahan, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan ekonomi merupakan antara cabaran utama yang membelenggu masyarakat bandar.
“Parti mesti memahami realiti kehidupan masyarakat bandar dan menyesuaikan pendekatan kita dengan perubahan yang berlaku,” katanya.
Salleh berkata, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi bandar.
Menurut beliau, matlamat UMNO bukan sekadar mahu melihat lebih ramai Bumiputera menetap di bandar, malah memastikan mereka mampu memiliki kediaman sendiri, membangunkan perniagaan, menjadi golongan profesional serta memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi bandar.
Beliau berkata, UMNO Bahagian boleh bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan kerajaan serta agensi berkaitan, khususnya dalam membantu rakyat mendapatkan maklumat, latihan, pembiayaan dan peluang dalam bidang pendidikan, pekerjaan serta keusahawanan.
Dalam masa sama, Salleh menegaskan pendekatan terhadap golongan muda bandar juga perlu diperkasakan dengan memberi ruang lebih luas kepada profesional muda, graduan, usahawan dan pekerja dalam sektor ekonomi baharu untuk menyumbang idea serta kepakaran kepada parti.
Beliau turut mengingatkan bahawa khidmat bakti UMNO di Kota Kinabalu perlu bersifat inklusif, selaras dengan kedudukannya sebagai sebuah bandar yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
“Kekuatan sesebuah bahagian bukan hanya diukur daripada jumlah ahli atau banyaknya kegiatan politik. Ia juga harus diukur daripada berapa ramai yang kita bantu dan berapa banyak masalah masyarakat yang dapat kita selesaikan.
“Politik bandar mesti berasaskan khidmat. Kalau kita mahu masyarakat bersama kita, kita mesti terlebih dahulu menunjukkan bahawa kita sentiasa bersama mereka,” katanya.



