KUCHING – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama strategik Multimedia University (MMU), GSMA dan MMU CNERGY menganjurkan edisi pertama Sarawak bagi Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Masterclass 2026 , sekali gus memperkukuh pembangunan kapasiti dasar serta kawal selia digital di Malaysia dan rantau ASEAN.
Program lima hari yang berlangsung dari 27 hingga 31 Julai di Hotel Pullman Kuching itu dirasmikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.
Bertemakan “Enabling the Next Wave of Connectivity and Multimedia: From 5G and AI to Satellite and Beyond – Policies for Future Digital Growth”, program tersebut menghimpunkan penggubal dasar, pengawal selia, agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik serta profesional komunikasi dari Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN.
Penganjuran di Sarawak dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan negeri itu yang semakin penting dalam agenda transformasi digital negara menerusi pelaburan berterusan dalam infrastruktur digital, rangkaian komunikasi dan inovasi teknologi.
Menurut MCMC, program berkenaan menjadi platform strategik untuk meningkatkan kefahaman mengenai teknologi baharu selain membantu membangunkan rangka kerja dasar dan kawal selia yang lebih anjal, bersifat neutral teknologi serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Inisiatif itu juga bertujuan menggalakkan inovasi, menarik pelaburan, memperkukuh daya tahan digital serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap ekosistem digital yang semakin berkembang.
MCMC berkata, perkembangan pesat teknologi seperti telekomunikasi, penyiaran, platform dalam talian, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan komunikasi satelit memerlukan institusi serta pengawal selia mempunyai keupayaan yang lebih mantap untuk menangani landskap digital yang semakin kompleks.
Sehubungan itu, pembangunan modal insan dalam kalangan penggubal dasar dan pengawal selia dilihat sama penting dengan pembangunan infrastruktur bagi memastikan negara mampu menggubal dasar yang responsif dan berkesan.
Sepanjang program, peserta mengikuti sesi pembelajaran eksekutif dan perbincangan interaktif yang dikendalikan pakar tempatan serta antarabangsa.
Antara topik yang dibincangkan termasuk kawal selia konvergen, tadbir urus AI, Open RAN, pembangunan teknologi 6G, komunikasi satelit, pengurusan spektrum pintar, keselamatan siber, tadbir urus data, ekonomi infrastruktur, aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta transformasi digital mampan.
Program itu turut menyediakan platform untuk peserta bertukar pengalaman, berkongsi amalan terbaik kawal selia serta memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran dan peluang hasil perkembangan teknologi.
Penyertaan wakil daripada pelbagai negara ASEAN juga mencerminkan kepentingan kerjasama serantau dalam membangunkan dasar yang menyokong ekonomi digital yang semakin saling berhubung.
Sejak diperkenalkan pada 2015, CTPR Masterclass telah muncul sebagai antara program pembangunan eksekutif yang diiktiraf dalam bidang dasar komunikasi, kawal selia digital dan teknologi baharu.
Sehingga kini, hampir 400 pengawal selia, penggubal dasar, pegawai kerajaan, ahli akademik dan profesional industri dari Malaysia serta ASEAN telah menyertai program berkenaan.
Selepas edisi Sarawak, CTPR Masterclass 2026 akan diteruskan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bagi memperluaskan peluang pembangunan profesional serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam bidang dasar digital, pembangunan keupayaan kawal selia dan kepimpinan sektor komunikasi.
MCMC menegaskan komitmennya untuk terus memperkasakan kapasiti penggubal dasar, pengawal selia dan pemain industri agar bersedia menghadapi perkembangan teknologi masa hadapan, di samping memperkukuh kerjasama serantau bagi membina ekosistem digital yang dipercayai, berdaya tahan dan mampan.



