Pada tarikh 26 Julai menjadi malam yang tidak mungkin dilupakan, telah tercipta di Megastar Arena Kuala Lumpur apabila dua kumpulan legenda dalam dunia muzik tanah air, Slam dan Exist, bersatu di pentas yang sama dalam sebuah konsert yang diberi judul Slam X Exist: Our Journey. Ribuan peminat membanjiri arena seawal petang, berpakaian seperti era 90-an, membawa poster, pita kaset lama, dan hati yang penuh kenangan. Bukan sekadar mahu menyaksikan persembahan, mereka datang untuk menyambut kembali detik-detik yang membentuk zaman remaja mereka dan konsert ini menghadirkan semua itu, lebih daripada yang diharapkan.
Sejak awal persembahan, suasana sudah cukup untuk menggambarkan betapa malam ini bukan konsert biasa. Video teaser eksklusif membuka tirai, diikuti overture yang membangkitkan rasa, sebelum para anggota band muncul dari bawah pentas satu demi satu. Ia bukan sekadar kemunculan fizikal, tetapi seperti simbol kebangkitan semula dua nama besar yang pernah memegang takhta industri muzik negara pada era paling indah dalam sejarah hiburan kita.
Exist tampil dengan barisan yang masih utuh dan berbisa: Ezad dengan vokal yang terus menyentuh jiwa, Along dengan petikan gitar yang tidak pernah pudar magisnya, Ujang di posisi drum yang memberi rentak kuat dan jujur, Ajai yang menenun emosi di balik keyboard, serta Musa yang menjadi tulang belakang pada bass. Sementara itu, Slam membawa tenaga yang tidak kurang hebatnya. Zamani ikon yang suaranya menjadi definisi cinta dalam muzik Melayu berdiri megah bersama Shah (gitar), Lily (bass), Man (drum), dan Eddie (keyboard). Tiada satu pun kekurangan pada persembahan mereka; yang ada hanyalah persefahaman, kesetiaan pada muzik, dan cinta pada peminat.

Konsert dibuka dengan duet dua lagu ikonik “Jesnita” dan “Kembali Merindu”. Apabila dua suara legenda, Ezad dan Zamani, bergabung dalam satu melodi, suasana menjadi syahdu. “Biar pun kau tak pernah anggap aku kekasihmu… namun bagiku kau tetap Jesnita di hatiku,” bergema dari bibir peminat di seluruh dewan. Sungguhpun lagu itu pernah popular lebih dua dekad lalu, ia tetap hidup dalam setiap bait, kerana setiap orang punya kisah yang selari dengannya. “Kembali Merindu” pula menyempurnakan pembukaan malam dengan nyanyian yang meruntun kalbu, seakan setiap kata adalah surat rindu yang tidak pernah sempat dihantar.
Exist meneruskan persembahan dengan rangkaian lagu-lagu yang telah menjadi suara kepada perasaan generasi yang sedang belajar mengenal cinta dan kecewa. “Seperti Dulu”, “Masih Terserlah Ayumu”, dan “Tak Mungkin Berpaling” dinyanyikan penuh penghayatan. Lagu “Mengintai Dari Tirai Kamar” benar-benar mengembalikan suasana zaman di mana cinta sering disimpan diam-diam, cukup sekadar memandang dari jauh, cukup sekadar rindu dari balik tirai. Dalam setiap lagu mereka, ada cerita yang dirasai bersama: cinta pertama yang tak kesampaian, janji yang tak tertunai, rindu yang tak terucap. Ia adalah emosi yang tak pernah hilang nilainya, walau masa terus berjalan.
Slam pula memulakan persembahan mereka dengan lagu “Nur Kasih”, membawa masuk peminat ke dalam dunia yang lebih dalam dan penuh makna. Zamani menyanyi bukan dengan suara sahaja, tetapi dengan seluruh jiwanya. Lagu seperti “Jika Kau Rasa Getarnya” dan “Suratan” membuktikan mengapa Slam pernah menjadi raja balada: kerana lirik-lirik mereka bukan sekadar indah, tetapi benar. Lagu “Untukmu Ibu” menghentikan detik di arena penonton senyap, mata berkaca. Tiada siapa yang tidak tersentuh. Barangkali setiap yang hadir pernah menjadi anak yang gagal meluahkan rasa kasih kepada seorang ibu.
Apabila “Gerimis Mengundang” dimainkan, tiada satu bibir pun yang tidak menyanyi bersama. Ia bukan sekadar lagu ia adalah sejarah yang hidup. Setiap baitnya, “Gerimis mengundang ke dalam hatiku yang pilu…” menyentuh segenap rasa, membuktikan bahawa sebuah karya yang jujur tidak akan pernah lapuk. Diikuti “Mentari Muncul Lagi”, yang membawa harapan dan cahaya selepas gelap, konsert ini tidak sekadar menggamit kenangan, tetapi menyuntik semula kekuatan untuk terus berjalan.
Kemuncak malam tiba apabila kedua-dua kumpulan kembali ke pentas untuk menyampaikan dua lagu secara duet “Kembali Terjalin”, yang menjadi simbolik pertemuan dua dunia muzik, dan “Alasanmu 2025”, sebuah karya baharu yang memperlihatkan kematangan dan evolusi mereka sebagai seniman. Lagu ini membawa suara masa kini, namun akar dan jiwanya masih kuat berakar dalam semangat 90-an. Gabungan suara Ezad dan Zamani dalam lagu ini menjadi satu pengisytiharan: bahawa mereka belum selesai, bahawa muzik mereka masih diperlukan.

Konsert ditutup dengan semua ahli band bergabung dalam segmen “Bounce & Wrap Up”, satu penutup yang diraikan dengan tangisan dan tepukan berdiri. Penonton tidak mahu malam itu berakhir. Mereka menyanyikan bait-bait terakhir dengan seluruh jiwa, seakan-akan mahu mengabadikan saat itu dalam ingatan selama-lamanya.
Slam X Exist: Our Journey adalah lebih daripada sekadar konsert. Ia adalah sebuah pengalaman kolektif, satu pengakuan bahawa lagu-lagu ini telah membesarkan kita, menyembuhkan kita, menemani kita. Ia membuktikan bahawa dalam dunia yang penuh perubahan, masih ada yang kekal: muzik yang datang dari hati, akan sentiasa pulang ke hati. Dalam bait-bait lagu seperti “Tak mungkin berpaling walau kini engkau jauh…” atau “Jika kau rasa getarnya cinta…”, kita menemui semula bahagian diri yang pernah kita tinggalkan.
Dan malam itu, di Megastar Arena, dua kumpulan legenda bukan sahaja mempersembahkan lagu, mereka membawa kita semua menelusuri perjalanan bukan hanya perjalanan mereka, tetapi juga perjalanan kita sendiri. Perjalanan yang kini tercatat dalam sejarah muzik Malaysia sebagai malam yang tidak akan pernah dilupakan.



