SF9 pamer kesungguhan

- Advertisement -

RANCAK membina nama mereka semula, kumpulan SF9 jelas mempamerkan kesungguhan dalam setiap aktiviti seni yang dibuat sekarang. Bukan setakat menyerlah dalam program Kingdom: Legendary War, tidak terkecuali bidang lakonan.

Tampil membuat kemunculan semula, kumpulan dianggotai Youngbin, Inseong, Jaeyoon, Dawon, Rowoon, Zuho, Taeyang, Hwiyoung, dan Chani ini turut menetapkan misi mahu menjadi inspirasi kepada artis junior.

Muncul dengan album mini baharu berjudul Turn Over, mereka enggan sekadar pentingkan kepuasan kerjaya sendiri sahaja. Sebaliknya, SF9 mahu terus mencorakkan kumpulan mereka agar meninggalkan impak.

Mereka mengakui begitu terkesan dengan usaha keras artis yang lebih lebih senior daripada mereka. Bagi SF9, apa pun pencapaian mereka kelak, ia tidak bermakna jika kehadiran merea tidak mencetus contoh terbaik buat artis akan datang.

“Saya berasa sangat menarik apabila ramai dalam kalangan artis senior masih giat mempromosikan diri meskipun selepas tamatkan khidmat tentera. Kami juga mahu menjadi pasukan yang akan diingati sebagai contoh terbaik kepada artis junior.

“Kami mahu mereka berfikir untuk berjaya seperti kami. Kami juga menetapkan dalam fikiran untuk terus memperbaharui kontrak supaya kami dapat terus kekal bersama dan tunjuk kerja keras,” kata Zuho.

Apapun, semestinya mereka juga mahu membuktikan bahawa berlaku transisi nyata dalam perihal berkarya dalam muzik. Menerusi album Turn Over, mereka menyalurkan pesona tersendiri demi memastikan karya terkini turut hebat.

Menurut Zuho, banyak aspek mahu mereka tunjukkan terutama dari segi warna karakter sebagai artis. Ia sangat penting untuk ditonjolkan kerana mereka percaya setiap anggota masing-masing memiliki aura tersendiri.

“Kami sudah memberikan sebanyak mungkin dalam semua album yang dihasilkan setakat ini demi mencari warna tepat untuk diri masing-masing. Saya rasa kami berjaya menemuinya apabila terbabit dalam Kingdom.

“Album ini dilancarkan selepas kami akhirnya menemui warna itu. Muzik kami kini lebih minimalis, lebih santai untuk dinikmati, tapi semestinya masih sarat dengan aspek persembahan di dalamnya,” tambah Zuho.

Memperbaharui kontrak dengan agensi FNC Entertainment, menurut Hwiyoung, mereka sepakat ambil keputusan itu demi meraih lebih kejayaan. Meskipun kini setiap anggota turut fokus kepada aktiviti solo, mereka tetap mahu kukuh sebagai kumpulan.

“Sewaktu membuat perbincangan mengenainya (memperbaharui kontrak), alasan besar yang membuat kami sepakat adalah masih terlalu banyak hal perlu dicapai. Lagipun kami masing-masing pun sudah lakukan pelbagai aktiviti solo.

“Justeru, sekarang adalah peluang keemasan untuk kami bergabung semula dan disebabkan itulah kami enggan ragu-ragu memperbaharuinya. Apabila kami berbincang dengan ketua syarikat, dia juga berjanji mahu terus majukan kami sejauh mungkin.

“Kami juga memang berhasrat mahu melihat kumpulan ini akan bertahan untuk jangka masa panjang. Pada masa sama, kami juga memiliki impan peribadi masing-masing namun tetap berkongsinya sesama sendiri,” katanya.

Berjaya keluar zon selesa

Bagi terus memajukan diri, pembabitan SF9 dalam program Kingdom sememangnya menjadi satu lagi transisi penting. Meskipun berkongsi pentas dengan artis lain, mereka tidak rasa kerdil ataupun tercabar.

Sebaliknya, menurut Taeyang, perkara itu menaikkan lagi motivasi mereka untuk keluar dari zon selesa. Hakikatnya, di platform itulah juga mereka berjaya meneroka sisi berbeza yang mereka sendiri tidak jangka boleh lakukan.

“Ia adalah peluang yang cukup besar dan mencabar untuk kami. Kami pecahkan rutin biasa dengan sekadar mempersiapkan album dan mencuba sesuatu yang asing dalam bentik pertandingan bersama artis lain.

“Memandangkan ia peluang yang cukup berharga untuk kami cabar diri melakukan perkara di luar kebiasaan, kami dapat cuba berbeza perkara. Persembahan kami cukup berkuasa dan kuat pada beberapa pusingan awal,” katanya.

Ternyata, pembabitan mereka dalam program itu benar-benar berbaloi disebabkan berjaya meruntuhkan tembok zon selesa. Taeyang mengakui, mereka sangat bangga dengan corak persembahan SF9 yang jelas semakin menakjubkan.

“Antara persembahan kami lakukan adalah menerusi lagu Move yang memiliki sisi lelaki dan wanita. Kami berjaya membentuk sebuah perasaan yang lebih bersungguh dalam memecahkan tembok kemampuan kami.

“Bahkan, kami sebenarnya ada melakukan beberapa perkara yang sangat asing dan tidak pernah dibuat. Saya juga perlu banggakan kebolehan corka koreografi kami yang kini antara senjata utama SF9,” katanya.

Dalam pada itu, SF9 mendedahkan rahsia kejayaan mereka sebagai artis berkumpulan selama ini adalah untuk mengenal sesama-sendiri dengan mendalam. Hal itu penting untuk mereka, baik di luar ataupun sewaktu bersama di pentas.

Menurut Rowoon, dia sangat bersyukur apabila keserasian yang terjalin antara mereka sememangnya begitu erat. Meskipun perlu bersama setiap masa dan sudah ibarat adik-beradik, mereka masih saling menghormati.

“Sebenarnya, pada tahap sekarang, kami sudah cukup masak sesama-sendiri namun tetap perlu tahu bila harus berhati-hati. Saya rasa adalah sangat penting untuk sentiasa memuji dan menghormati sesama-sendiri,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat