Ikut Undang-Undang, Darurat Belum Dibatal & Banyak Persoalan Perundangan Belum Terungkai – Exco Pemuda UMNO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ordinan-Ordinan Darurat masih tidak boleh dianggap telah dibatalkan selagi tiada penjelasan daripada Kabinet berhubung beberapa persoalan undang-undang, kata Exco Pemuda UMNO, Aizat Azam.

Beliau yang juga pengamal undang-undang berkata, selagi tiada sebarang penjelasan jelas daripada Kabinet, Ordinan-Ordinan Darurat tersebut masih sah dan berkuatkuasa.

“Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dibuat dalam Persidangan Khas Parlimen pada semalam.

“Di mana beliau telah memaklumkan kepada persidangan Dewan bahawa Kabinet telahpun memutuskan untuk membatalkan (‘revoke’) kesemua Ordinan Darurat (yang berjumlah 6 secara keseluruhannya) (‘Ordinan-Ordinan Darurat tersebut’) pada 21 Julai lalu dan memandangkan perkara tersebut, isu annulment Ordinan-Ordinan Darurat tidak lagi relevan (‘kenyataan tersebut’),” katanya.

Aizat memaklumkan dari sudut undang-undang, kenyataan tersebut menimbulkan banyak persoalan penting.

Katanya, antara lainnya, adalah bilakah Kabinet memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?; sama ada Kabinet telahpun secara efektifnya menasihati Agong untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut dan sekiranya ya, bilakah nasihat tersebut diberi kepada Yang di-Pertuan Agong?

“Selain itu sama ada Agong telahpun menerima nasihat Kabinet tersebut untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut, dan sekiranya ya, bilakah Yang di-Pertuan Agong berkenan sedemikian?; sama ada pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut telahpun digazet mengikut peruntukan undang-undang?” ujar beliau.

Aizat berkata, berdasarkan kenyataan tersebut, Ordinan-Ordinan Darurat telahpun dibatalkan pada 21 Julai dan sekiranya ianya benar, persoalan-persoalan yang telah utarakan di atas semestinya telahpun dilakukan selewat-lewatnya pada 21 Julai.

Namun katanya, sehingga hari ini, tiada sebarang kenyataan dibuat berkenaan sebarang pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat oleh pihak Istana.

“Malah, kerajaan hanya mengeluarkan kenyataan tersebut semasa Persidangan Khas Parlimen apabila Kabinet diasak untuk membentangkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut di Parlimen dengan segera.

“Mengikut peruntukan Perkara 150 (3), apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang merungkaikan Proklamasi atau ordinan itu.

“…tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B),” katanya.

Dalam erti kata lain menurut beliau, Ordinan-Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan wajib dibentangkan dengan segera dalam persidangan Parlimen apabila Parlimen bersidang melainkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut telahpun dibatalkan terlebih dahulu.

Namun kata beliau, persoalan penting yang timbul di sini adalah sama ada Ordinan-Ordinan Darurat tersebut telahpun dibatalkan secara sah mengikut peruntukan undang-undang sepertimana yang telah saya persoalkan di atas.

“Sekiranya ia tidak dilakukan (sepertimana persoalan saya di atas), maka pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut adalah tidak sah.

“Pada hemat saya, sekarang bukanlah masa untuk mana-mana pihak mempolitikkan perkara tersebut,” jelasnya.

Aizat berkata, isu Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat adalah amat penting pada masa sekarang dan rakyat berhak untuk tahu sama ada mereka masih tertakluk kepada Ordinan-Ordinan tersebut.

Kata beliau negara ini perlu tahu sama ada Ordinan-Ordinan Darurat masih berkuatkuasa ke atas semua rakyat.

“Perkara ini sudah semestinya tidak boleh disembunyikan daripada rakyat dan Kerajaan seharusnya lebih telus dalam perkara ini.

“Kerajaan harus menghormati prinsip ‘rule of law’ lebih-lebih lagi dalam isu yang penting seperti ini bagi mengelakkan sebarang krisis perlembagaan dan bagi menjamin kestabilan negara pada ketika ini.

“Dalam tempoh waktu ini juga, mana-mana pihak seharusnya tidak wajar meneruskan polemik menimbulkan kesangsian kerana perkara ini akan memberi kesan besar kepada kestabilan pemerintahan negara dan pada masa yang sama, saya ingin tekankan bahawa kerajaan perlu segera memberi penjelasan yang menyeluruh dan terperinci mengenai perkara ini.

“Ketelusan kerajaan dalam isu ini, kini dalam perhatian seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat