BATU PAHAT — Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N17 Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid, akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas, kebajikan rakyat serta pembangunan modal insan sekiranya diberi mandat semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata manifesto yang dibawa di DUN Semerah akan berpandukan kepada manifesto keseluruhan BN, namun disesuaikan dengan keperluan penduduk setempat yang masih memerlukan penyelesaian terhadap isu-isu asas seperti kemudahan infrastruktur, kebajikan golongan asnaf dan usaha membasmi kemiskinan tegar.
“Persoalan pembangunan asas dan infrastruktur masih lagi menjadi keutamaan kerana masih banyak perkara yang perlu kita laksanakan untuk rakyat.
“Semerah ini tidak perlu fikir perkara yang terlalu besar dahulu. Kita fikir perkara yang asas dahulu, termasuk kemudahan asas, kebajikan, soal asnaf, fakir miskin dan usaha membasmi miskin tegar.
“Selepas itu selesai, barulah kita akan melangkah setapak demi setapak untuk membangunkan Semerah dengan lebih baik lagi. Pembangunan modal insan juga akan menjadi antara manifesto utama,” katanya ketika ditemui SuaraTV selepas proses penamaan calon di pusat penamaan calon MRSM Batu Pahat, hari ini.
Mengulas mengenai suasana penamaan calon, Mohd Fared menyifatkan perjalanan proses itu berlangsung dalam keadaan harmoni dan penuh semangat muhibah.
Menurut beliau, walaupun calon-calon daripada parti yang bertanding hadir pada waktu berbeza, keseluruhan proses berjalan lancar kerana hubungan baik yang terjalin dalam kalangan masyarakat di Semerah.
“Saya jangkakan kalau hari penamaan calon pun berjalan sebegini baik, maka sepanjang 14 hari berkempen nanti, Semerah akan menjadi antara kawasan yang paling sejahtera dengan kempen yang sihat dan sangat bermakna,” katanya.
Mengenai gerak kerja kempen, Mohd Fared berkata BN memiliki jentera yang tersusun sehingga ke peringkat cawangan dan sentiasa bergerak bersama rakyat walaupun di luar musim pilihan raya.
“Apabila tiba pilihan raya, kita hanya perlu menggerakkan semula jentera. Saya kira ini merupakan kelebihan Barisan Nasional.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua jentera dan mereka yang akan membantu kita berkempen,” katanya.
Kerusi DUN Semerah menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Fared yang mempertahankan kerusi tersebut berdepan calon Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional pada PRN Johor kali ini.


