Akademi tetap No 1 – Farisha

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akibat penularan pandemik COVID-19, penyanyi dan pelakon, Farisha Iris terpaksa menunggu dua tahun untuk menerima diploma dalam bidang komunikasi massa pada majlis konvokesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, pada 20 Jun lalu.

Farisha atau nama penuh, Farisha Asmadi berkongsi detik indah Istiadat Konvokesyen Ke-93 dalam media sosial dan menceritakan perjalanan ditempuh bukannya mudah.

Calon Top 5 kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu memulakan pengajian sejak 2018 dan tamat pada 2020.

“Tiada apa yang mudah. Namun, penantian ini cukup berbaloi selepas dua tahun kita diuji wabak COVID-19.

 

Farisha bersama ibu dan bapanya pada hari konvokesyen di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini. Foto Ihsan Farisha Iris

 

“Sejurus tamat pengajian, saya terus menimba ilmu peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan perhubungan awam di universiti sama iaitu di kampus induk di Shah Alam,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Hello ini memberitahu, biarpun memilih menjadi anak seni, bidang pendidikan tidak dipersiakan.

“Saya harus berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga, teman akrab dan rakan sekelas kerana banyak membantu serta memberi semangat.

“Syukur, biarpun terikat dengan komitmen dunia seni, rasa bosan untuk belajar dan menambah ilmu di dada tidak pernah pudar.

“Cukup mencabar membahagikan masa antara cabang seni dan pendidikan. Bergelut, pastinya, namun, ia berakhir dengan kemanisan,” katanya.

Penyanyi yang sudah lebih sedekad berkecimpung dalam dunia seni ini menyifatkan pencapaian itu sebagai motivasi untuk terus berjaya dalam hidup.

Bagaimanapun, Farisha mahu mengimbangi kerjaya seni dan akademik sebaik mungkin.

“Kerjaya seni yang semakin berkembang tetap menjadi keutamaan saya. Fokus saya adalah untuk menjadi penghibur disegani.

“Namun, bidang akademik juga sama penting. Saya amat menitikberatkan pendidikan dan pada masa sama, tunjukkan kecemerlangan sebagai penyanyi,” katanya yang bercadang menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana komunikasi massa.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat