Hamzah Dipecat Bukan Kerana Hendak Menyatukan Melayu Tetapi Memecahkan BERSATU – Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad, mendakwa pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan disebabkan usaha menyatukan orang Melayu, sebaliknya kerana didakwa menjadi punca perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Menurut beliau, Hamzah mula menjalankan gerakan untuk menjatuhkan Presiden parti, Muhyiddin Yassin, sebaik sahaja disahkan sebagai Timbalan Presiden BERSATU.

Marzuki berkata, Hamzah sebelum ini tidak mempunyai kedudukan besar dalam parti sehingga Muhyiddin melantiknya sebagai Setiausaha Agung dan kemudian memberi sokongan untuk beliau menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Menurut beliau, Muhyiddin yang memujuk Ahmad Faizal Azumu supaya bertanding jawatan Naib Presiden bagi memberi laluan kepada Hamzah menang jawatan Timbalan Presiden tanpa pertandingan.

“Tugas Timbalan Presiden dalam Perlembagaan BERSATU ialah membantu Presiden. Tetapi Hamzah bukan sahaja tidak membantu Presiden, malah menjalankan gerakan menjatuhkan Presiden secara terang-terangan sebaik sahaja beliau disahkan sebagai Timbalan Presiden,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Menurut Marzuki, Hamzah memilih untuk tidak mencabar Muhyiddin dalam pemilihan parti kerana menyedari sokongan akar umbi kepada Presiden BERSATU itu masih kuat.

Sebaliknya, beliau mendakwa Hamzah cuba mengusahakan pelan peralihan kuasa dengan mendesak Muhyiddin berundur supaya jawatan Presiden BERSATU dapat dipangku secara automatik oleh Timbalan Presiden.

“Menjadi Timbalan Presiden tanpa bertanding, kemudian desak Tan Sri Muhyiddin supaya berundur.

“Setelah Tan Sri Muhyiddin berundur, dia menjadi Pemangku Presiden BERSATU dan dengan sokongan PAS dan parti-parti lain dalam PN, dia dilantik sebagai Pengerusi PN,” katanya.

Marzuki turut mendakwa gerakan itu dilakukan dengan mempengaruhi Ketua-Ketua Bahagian BERSATU untuk mendesak Muhyiddin berundur menerusi kempen mengumpul tandatangan.

Beliau mendakwa antara naratif yang digunakan ialah kononnya Presiden Parti Islam Se-Malaysia menyokong Hamzah untuk menggantikan Muhyiddin selepas satu pertemuan melibatkan beberapa pemimpin PAS dan BERSATU di pejabat Hamzah di Bukit Tunku.

Bagaimanapun, Marzuki berkata beliau sendiri telah memaklumkan perkara itu kepada seorang pemimpin kanan PAS yang didakwa menafikan penglibatan Presiden PAS dalam gerakan tersebut.

Selain itu, beliau turut mendakwa Hamzah menggunakan naratif kononnya terdapat usaha kerjasama antara BERSATU, PAS dan United Malays National Organisation untuk membentuk kerajaan baharu, namun Muhyiddin perlu disingkirkan terlebih dahulu.

“Saya semak dengan beberapa orang pemimpin kanan UMNO. Mereka kata ini karut. Tiada syarat sedemikian.

“Malah mereka beritahu saya UMNO tidak percaya kepada Hamzah. Sebab itulah semua langkahnya untuk tebuk atap dari Dubai hingga Bangkok gagal,” katanya.

Marzuki turut mendakwa cerita mengenai hubungan rapat Hamzah dengan Istana Negara dijadikan modal politik bagi mempengaruhi sebahagian pimpinan parti dan Ahli Parlimen yang mahu kembali menjadi kerajaan tanpa melalui pilihan raya.

Katanya, tindakan itu akhirnya menyebabkan perpecahan dalaman dalam BERSATU dan juga Perikatan Nasional.

“Inilah punca perpecahan dalam BERSATU dan sekarang PN.

“Beliau dipecat bukan kerana ingin mencari titik penyatuan Melayu, tetapi kerana menjadi penyebab perpecahan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat