Geng Umno dipecat hanya akan kembali jika UMDAP bawaan Zahid berakhir – Isham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Isham Jalil mendakwa selagi Umno dibawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama DAP yang dilabel UMDAP maka tidak ramai pemimpin dan akar umbi dipecat akan kembali kepada parti itu.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu sebaliknya menegaskan, Umno hanya akan mendapat sokongan orang-orang Melayu apabila kembali ke landasan dan perjuangan asal.

“Saya lihat selagi Umno dibawa Zahid bersama DAP (UMDAP), saya tidak rasa ramai akar umbi dan pemimpin-pemimpin yang telah dipecat akan kembali kepada parti ini.

“Untuk Umno kembali mendapat sokongan orang-orang Melayu, Umno perlu kembali ke landasan dan perjuangan asal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Isham memaklumkan, semalam ramai wartawan hubungi beliau, mereka minta respon berkenaan kenyataan ahli MKT Umno bahawa Umno sedia menerima pemimpin-pemimpin yang dipecat sebelum ini.

“Wartawan-wartawan ini tanya sama ada saya akan masuk Umno semula. Kenyataan ahli MKT Umno itu kata kononnya ramai orang Umno yang dipecat mahu kembali kepada UMNO, dan kononnya mereka mencari jalan untuk diterima semula.

“Saya tidak rasa kenyataan ini benar (yang akar umbi dan pemimpin-pemimpin ini mahu masuk Umno semula). Saya lihat ia adalah sebaliknya.

“Ramai akar umbi Umno tidak sokong Umno yang dibawa Zahid untuk bersama DAP (UMDAP Zahid). Mereka yang masih berdaftar sebagai ahli pun tidak sokong dan tidak undi UMDAP PH/BN dalam pilihan raya, apatah lagi yang telah dipecat.

“Jika diadakan survey atau “pemutihan” keahlian dalam Umno hari ini, besar kebarangkalian jumlah ahli Umno yang masih aktif atau menyokong Umno adalah jauh lebih rendah daripada 3 juta yang selalu digembar-gemburkan selama ini, mungkin tinggal 20 peratus sahaja atau kurang dari suku dari tiga juta itu,” dakwa Isham.

Justeru, Isham berkata, sebab itu sebelum ini beliau minta Presiden Umno untuk buat referendum untuk mengetahui tahap sokongan sebenar, tetapi Zahid takut dan tidak mahu.

“Sebab saya pasti dia tahu hakikat sebenar, namun dia tidak mahu menerima kenyataan.

“Sebab itu kita lihat dalam pilihan raya-pilihan raya enam negeri dan pilihan raya-pilihan raya kecil sebelum ini sokongan orang-orang Melayu kepada PH/BN adalah rendah termasuk di Kuala Kubu Bharu baru-baru ini, pengundi-pengundi Melayu sama ada tidak keluar mengundi atau telah mengundi parti lain iaitu PAS atau Bersatu (PN).

“Ada penganalisa PH kata sokongan Melayu kepada PH/BN kononnya telah meningkat kepada 30-40 peratus, ini tidak benar dan tidak logik kerana jika ia benar maka PN tidak mungkin akan dapat lebih 10 ribu undi di Kuala Kubu Bharu.

“PH/BN kata mereka menang di 6 daripada 8 PDM majoriti Melayu, namun ini besar kemungkinan disebabkan oleh orang-orang Melayu (terutama pengundi UMNO) telah protes dan tidak keluar mengundi di situ manakala orang-orang bukan Melayu telah keluar dan undi PH di PDM-PDM ini, bukannya sebab orang-orang Melayu di sana telah sokong PH seperti yang digembar-gemburkan.

“Saya pasti UMDAP tahu fakta-fakta ini dan mereka tahu jika keadaan ini berterusan UMDAP akan kalah teruk di banyak kerusi dalam pilihan raya-pilihan raya yang akan datang. Mereka telah kehilangan sokongan akar umbi mereka sendiri dan mereka sedang risau. Untuk menghentikan keadaan ini, mereka perlu tarik balik akar-akar umbi yang telah lari dan pemimpin-pemimpin yang mereka pecat dahulu kembali kepada parti,” jelas beliau.

Oleh yang demikian, kata Isham lagi, hakikatnya adalah bukannya akar-akar umbi yang telah menjauhkan diri dan pemimpin-pemimpin yang dipecat ini yang mahu kembali kepada UMDAP, tetapi sebaliknya UMDAP yang terdesak mahu akar-akar umbi dan pemimpin-pemimpin ini kembali supaya UMDAP dapat menarik sokongan orang-orang Melayu.

“Saya tidak akan masuk parti yang sudah lari dari perjuangan asalnya.

“Parti yang dipimpin Zahid Hamidi hari ini bukanlah Umno yang asal yang ditubuhkan berdasarkan semangat perjuangan pada tahun 1946 dahulu, tetapi ia adalah UMDAP iaitu parti yang berasaskan semangat Zahid untuk membawa Umno bersama PH dan DAP.

“Parti Umno di bawah Zahid hari ini hanya tinggal pada nama sahaja. Semangat asalnya telah hilang dan telah berubah menjadi semangat UMDAP. Parti yang suatu masa dulu gah, hari ini telah jadi melukut di tepi PH dan DAP.

“Saya tidak akan kembali atau masuk parti UMDAP ini. Rata-rata orang Melayu pun tidak sokong parti ini. Ramai penyokong-penyokong tegar Umno sebelum ini tidak lagi menyokong UMDAP hari ini, ramai dari mereka kata jika datuk nenek moyang mereka yang berpuluh tahun dahulu telah berjuang dalam UMNO boleh bangkit dari kubur dan lihat apa yang telah berlaku kepada Umno hari ini tentunya mereka akan marah atau sedih,” tegas Isham.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat