Pembubaran DUN dan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan bukan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar semata-mata

SEREMBAN,  — Pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tidak boleh dibaca seperti amalan negeri beraja biasa kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 mempunyai struktur tersendiri yang melibatkan peranan Undang Yang Empat.

Berdasarkan Fasal XXXVI, “Ruler” hendaklah melantik seorang Menteri Besar melalui surat cara di bawah tanda tangan dan Mohor Negeri.

Fasal XXXVIII pula memperuntukkan bahawa Menteri Besar hendaklah dilantik dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri yang pada hemat “Ruler” berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.

Namun, maksud “Ruler” dalam konteks Negeri Sembilan tidak boleh ditafsirkan sebagai Yang di-Pertuan Besar seorang diri.

Fasal XXVIII(2) memperuntukkan bahawa bagi tujuan Fasal XL(2), iaitu kuasa budi bicara tertentu, “Ruler” bermaksud Yang di-Pertuan Besar bersama sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang.

Fasal XL(2)(a) pula secara khusus menyenaraikan pelantikan Menteri Besar sebagai salah satu perkara yang boleh dilaksanakan oleh “Ruler” menurut budi bicara.

Ini bermakna, dalam konteks pelantikan Menteri Besar, kuasa budi bicara itu tidak terletak pada Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian, tetapi perlu dibaca bersama peranan sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang.

Perkara sama turut terpakai dalam isu pembubaran DUN.

Fasal LVI memperuntukkan bahawa “Ruler” boleh dari semasa ke semasa memanggil, menangguh atau membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, Fasal XL(2)(b) menyatakan bahawa “Ruler” boleh bertindak menurut budi bicara dalam perkara menolak atau tidak memperkenankan permintaan pembubaran DUN.

Apabila Fasal XL(2)(b) dibaca bersama Fasal XXVIII(2), kuasa budi bicara untuk menolak permohonan pembubaran DUN juga bukan kuasa Yang di-Pertuan Besar semata-mata, sebaliknya melibatkan Yang di-Pertuan Besar bersama sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang.

Undang Yang Empat terdiri daripada Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau.

Dalam masa sama, Fasal XXXIV mentakrifkan “Ruling Chiefs” sebagai Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Tampin.

Ini menunjukkan Tunku Besar Tampin tetap mempunyai kedudukan penting dalam struktur perlembagaan Negeri Sembilan, walaupun bagi kuasa budi bicara khusus di bawah Fasal XL(2), peruntukan itu merujuk secara khusus kepada Yang di-Pertuan Besar bersama sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang.

Perkara ini menjadikan kedudukan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun semakin sukar selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional menarik sokongan terhadap beliau, diikuti lima ADUN Perikatan Nasional yang menyatakan sokongan kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Gabungan 14 ADUN BN dan lima ADUN PN kini membentuk blok 19 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, manakala Pakatan Harapan hanya memiliki 17 kerusi.

Dengan kedudukan itu, Aminuddin secara politik didakwa telah hilang sokongan majoriti.

Namun, pilihan untuk membubarkan DUN juga bukan laluan mudah kerana permohonan itu tertakluk kepada kuasa budi bicara dalam struktur khas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Jika Aminuddin tidak lagi mendapat sokongan Undang Yang Empat, sukar untuk melihat bagaimana permohonan pembubaran DUN, sekiranya dibuat, boleh mendapat laluan mudah.

Justeru, krisis politik Negeri Sembilan kini bukan sekadar pertikaian angka majoriti antara PH, BN dan PN.

Ia turut menyentuh persoalan lebih besar mengenai tafsiran kuasa “Ruler”, peranan Undang Yang Empat dan kedudukan pembesar adat dalam menentukan kelangsungan pentadbiran negeri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat