KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menyifatkan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Umno di Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai langkah tepat berlandaskan prinsip utama parti.
Beliau yang juga Ketua Pemuda BN berkata, pendirian tegas Umno Negeri Sembilan itu adalah gambaran sebenar bahawa parti berkenaan terus mempertahankan prinsip perjuangan parti meski pun berdepan risiko kehilangan kuasa demi mempertahankan agama, bangsa dan institusi raja.
“Saya mengucapkan tahniah kepada kepemimpinan Umno Negeri Sembilan yang berani membuat keputusan berasaskan prinsip parti.
“Kita tidak akan berdiam diri jika kedaulatan raja-raja tercabar. Ini adalah prinsip asas perjuangan parti yang perlu dipertahankan walau dalam apa jua keadaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang DUN Melaka di Seri Negeri lapor BH di Melaka.
Terdahulu, media melaporkan BN dan Umno Negeri Sembilan mengumumkan menarik sokongan terhadap Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, hari ini.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara membabitkan semua 14 ADUN BN negeri berkenaan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.
Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, penyertaan Umno dalam kerajaan perpaduan sebelum ini bukan didorong oleh keinginan untuk berkuasa, sebaliknya dibuat atas titah Yang di-Pertuan Agong ketika negara berdepan kebuntuan pembentukan kerajaan.
Katanya, walaupun pada awalnya Umno mengambil pendirian menolak kerjasama dengan beberapa parti termasuk PKR, Bersatu dan DAP, namun keputusan untuk bersama kerajaan dibuat demi kestabilan negara.
“Tetapi itu tidak bermakna kita menggadaikan prinsip kerana prinsip Umno tetap kekal dan tidak akan dikompromi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa soal menjadi kerajaan atau pembangkang bukan isu utama, sebaliknya keutamaan adalah memastikan prinsip parti terus dipertahankan.
“Kalau terpaksa kehilangan kuasa sekalipun, Umno tetap akan mempertahankan prinsipnya. Kita boleh jadi kerajaan atau pembangkang, tetapi prinsip tidak boleh digadai,” katanya.



