Aminuddin hilang majoriti, Setiausaha Kerajaan Negeri boleh laksana keputusan Undang Yang Empat

SEREMBAN, — Kedudukan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dilihat semakin tersepit selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap beliau, diikuti sokongan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) kepada BN bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

Perkembangan itu menjadikan blok BN-PN kini mempunyai 19 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, manakala Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai 17 kerusi.

Dengan angka itu, Aminuddin secara politik didakwa telah kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Namun krisis Negeri Sembilan kini bukan sekadar soal angka sokongan dalam DUN, sebaliknya turut membabitkan persoalan lebih besar mengenai peranan institusi adat, kedudukan Undang Yang Empat serta pelaksanaan keputusan berkaitan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam konteks Negeri Sembilan, kuasa menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar terletak pada Undang Yang Empat, bukan pada Menteri Besar atau pegawai pentadbiran negeri.

Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Yang di-Pertuan Besar hendaklah dipilih oleh Undang bagi wilayah Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau.

Peruntukan itu menunjukkan struktur khas Negeri Sembilan berbeza daripada negeri-negeri beraja lain kerana kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak diwarisi secara automatik, sebaliknya ditentukan melalui peranan Undang Yang Empat.

Sebelum ini, Undang Yang Empat dilaporkan telah membuat keputusan menyingkirkan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Mereka kemudiannya mengumumkan pemilihan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tunku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Keputusan itu turut mendapat sokongan Tunku Besar Tampin, satu kedudukan penting kerana Tunku Besar Tampin merupakan sebahagian daripada struktur pembesar adat utama Negeri Sembilan.

Walaupun Tunku Besar Tampin tidak disebut secara khusus dalam formula kuasa budi bicara tertentu berkaitan pelantikan Menteri Besar dan penolakan permohonan pembubaran DUN, kedudukannya tetap penting dalam struktur Ruling Chiefs atau Pembesar Memerintah Negeri Sembilan.

Dalam hal ini, peranan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak boleh diketepikan kerana jawatan itu diperuntukkan secara khusus di bawah Fasal XXXVII Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Fasal tersebut memperuntukkan kewujudan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri sebagai sebahagian daripada struktur pentadbiran kerajaan negeri.

Malah, Setiausaha Kerajaan Negeri mempunyai hak mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau jawatankuasanya, walaupun tanpa hak mengundi.

Peruntukan ini menunjukkan Setiausaha Kerajaan Negeri bukan sekadar pegawai pentadbiran biasa, sebaliknya merupakan sebahagian daripada jentera rasmi kerajaan negeri yang berperanan memastikan keputusan dan urusan pentadbiran kerajaan dapat dilaksanakan.

Oleh itu, sekiranya Undang Yang Empat telah membuat keputusan menurut kuasa yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh, Setiausaha Kerajaan Negeri boleh melaksanakan tindakan pentadbiran yang perlu bagi memberi kesan kepada keputusan tersebut.

Tindakan itu boleh merangkumi urusan rekod rasmi kerajaan, komunikasi pentadbiran, protokol negeri, penyelarasan istiadat, edaran arahan pentadbiran serta tindakan lain yang diperuntukkan atau dibenarkan oleh undang-undang.

Dengan kata lain, Setiausaha Kerajaan Negeri tidak menentukan keputusan adat, tetapi mempunyai ruang kuasa pentadbiran untuk melaksanakan keputusan Undang Yang Empat apabila keputusan itu dibuat dalam kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dalam isu pelantikan Menteri Besar dan pembubaran DUN pula, Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan juga menunjukkan Yang di-Pertuan Besar tidak bertindak secara bersendirian seperti sistem negeri beraja biasa.

Fasal XXVIII(2) memperuntukkan bahawa bagi tujuan Fasal XL(2), iaitu kuasa budi bicara tertentu, “Ruler” bermaksud Yang di-Pertuan Besar bersama sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang.

Fasal XL(2)(a) pula menyenaraikan pelantikan Menteri Besar sebagai salah satu kuasa budi bicara “Ruler”, manakala Fasal XL(2)(b) menyentuh kuasa menolak permintaan pembubaran DUN.

Ini bermakna, sekiranya Aminuddin mahu memohon pembubaran DUN selepas didakwa hilang majoriti, permohonan itu tidak semestinya diterima secara automatik.

Apatah lagi, dalam keadaan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dilihat tidak lagi bersama kedudukan politik beliau, laluan untuk mendapatkan perkenan pembubaran DUN dijangka berdepan halangan besar.

Pemerhati politik melihat keadaan itu menjadikan Aminuddin berdepan jalan buntu.

Beliau bukan sahaja didakwa telah hilang sokongan majoriti ADUN, malah pilihan untuk membubarkan DUN juga tertakluk kepada struktur khas perlembagaan dan adat Negeri Sembilan.

Dalam keadaan tersebut, jalan paling praktikal dari sudut kestabilan politik ialah Aminuddin meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada pembentukan kerajaan negeri baharu yang mempunyai sokongan majoriti ADUN.

Krisis ini sekali gus membuka fasa baharu dalam politik Negeri Sembilan, apabila persoalan majoriti DUN kini bergerak seiring dengan persoalan peranan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan jentera pentadbiran negeri dalam melaksanakan keputusan menurut kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat