Imigresen serbu kondominium mewah, bongkar aktiviti penipuan atas talian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Aduan kehadiran warga asing di sebuah kondominium resort mewah di Jalan U-Thant, di sini, membongkar kegiatan kumpulan berkenaan terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kegiatan itu terbongkar menerusi Op Serkap di kondominium itu jam 4.30 petang, pada 25 Mac lalu.

Katanya, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam berkaitan pusat ‘khidmat pelanggan’ dalam talian oleh warga asing di kondominium berkenaan.

“Seramai 36 pegawai daripada JIM Kuala Lumpur, Ibu Pejabat JIM Putrajaya serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM Kuala Lumpur terbabit dalam operasi itu.

“Ketika serbuan dilakukan di beberapa unit kondominium dan sekitar laman resort itu, kami mendapati kawasan berkenaan dikawal ketat oleh dua lapisan kawalan keselamatan.

“Seramai 28 orang diperiksa dengan enam warga asing terdiri daripada warga China dan Myanmar berusia antara 35 hingga 56 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya juga mengeluarkan saman kepada saksi iaitu pemilik kondominium resort terbabit yang juga warga tempatan bagi membantu siasatan.

“Kami percaya beberapa unit kondominium resort itu digunakan sebagai pusat aktiviti penipuan pelaburan dalam talian membabitkan sekumpulan warga asing.

“Ia berdasarkan penemuan kelengkapan seperti komputer riba, set komputer, tablet, telefon bimbit, ‘router’ wifi dan 11 pasport yang ditinggalkan di dalam bilik beberapa unit kondominium itu.

“Mereka dipercayai melarikan diri melalui tingkap belakang apabila menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa JIM,” katanya.

Beliau berkata, semua warga asing yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, kesemua tahanan berkenaan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

“Pihak JIM mengingatkan pemilik premis dan majikan bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) atau membenarkan mereka memasuki premis mereka.

“Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya didapati melanggar undang-undang yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat