Laporan dakwa keluarga berpengaruh guna firma UK beri tekanan kepada PM, Azam Baki

KUALA LUMPUR – Sebuah keluarga berpengaruh dengan aset bernilai berbilion ringgit dikatakan melantik sebuah firma komunikasi strategik berpangkalan di London bagi memberi tekanan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Dakwaan itu terkandung dalam satu laporan polis yang dibuat semalam di Balai Polis Brickfields, salinan laporan berkenaan kini tular di media sosial.

Menurut laporan itu, keluarga terbabit didakwa melantik firma berkenaan pada Julai tahun lalu. Firma berkenaan didakwa mempunyai kepakaran dalam mempengaruhi dasar negara serta hala tuju isu tertentu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, hari ini mengesahkan polis telah membuka siasatan berhubung dakwaan wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan serta menjejaskan kestabilan negara, yang dikaitkan dengan seorang tokoh tempatan berpengaruh dan sebuah agensi media antarabangsa.

Beliau berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen,” katanya menurut BH pada Jumaat.

Dakwaan itu timbul susulan laporan portal berita Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, berdasarkan pemfailan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Azam menafikan sebarang salah laku dan menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, selain menyatakan transaksi berkenaan telah diisytiharkan dengan sewajarnya.

Beliau turut mengeluarkan surat tuntutan terhadap Bloomberg dengan menuntut ganti rugi RM100 juta atas dakwaan mencemarkan reputasi serta kedudukan profesionalnya.

Pada Ahad lalu, Azam telah memberi keterangan kepada sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat pemilikan sahamnya.

Dalam laporan berasingan, Bloomberg turut mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan bagi menekan eksekutif korporat supaya menjual saham dalam syarikat yang disasarkan. SPRM menafikan dakwaan berkenaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat