Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Viviantie Sarjuni, rakyat Malaysia pertama meraih Anugerah Public Social Innovator Tahun 2026 bagi Keusahawanan Sosial oleh Schwab Foundation bersempena dengan Mesyuarat Tahunan World Economic Forum (WEF) di Davos pada 21 Jan lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pengiktirafan antarabangsa berkenaan sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Viviantie, atas penganugerahan ini. Pengiktirafan berkenaan sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, ”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, ilmu, pengalaman dan amalan terbaik global yang diperoleh akan dibawa pulang untuk dimanfaatkan di Malaysia, khususnya dalam memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta pelaksanaan program-program strategik INSKEN.
“Pencapaian ini mencerminkan kepimpinan, dedikasi dan komitmen tinggi Viviantie dalam memperkasa keusahawanan, perusahaan sosial serta pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
“Saya yakin penganugerahan ini akan terus
memberi nilai tambah kepada ekosistem keusahawanan negara, khususnya bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), ”ujarnya.
Dalam pada itu, sepanjang berada di Davos,
Viviantie turut menyertai beberapa bengkel dan sesi libat urus antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin serta inovator sosial dari seluruh dunia.
Beliau telah memainkan peranan sebagai Table Schwab Foundation Welcome Dinner , yang memimpin perbincangan mengenai motivasi, cabaran serta harapan terhadap masa depan inovasi sosial.
Selain itu, beliau turut tampil sebagai Firestarter dalam Social Innovation in an Era of Transformation, yang menumpukan kepada model kerjasama baharu dan pendekatan rentas sektor.
Perbincangan di Davos menekankan kepentingan membina kepercayaan melalui kolaborasi jangka panjang, kefahaman antara rakan strategik, serta peralihan kepada ekosistem pelbagai pihak yang berkongsi pemilikan dan tanggungjawab dalam menjayakan inovasi sosial yang mampan.
Viviantie berkata, perubahan boleh bermula apabila peluang dibina bersama komuniti.
“Pendekatan yang dekat dengan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar dan perusahaan sosial, membuktikan bahawa apabila sistem direka dengan lebih adil dan inklusif, peluang boleh sampai ke mana-mana, ”katanya menerusi hantaran di Facebook.
Katanya lagi, pengiktirafan oleh Schwab Foundation dan WEF ini bukan sekadar pencapaian di pentas global, tetapi cerminan suara komuniti yang terus membina perubahan di peringkat akar umbi.- SUARA.TV



