KUALA LUMPUR: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memberi kelegaan kepada tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya apabila membenarkan mereka kembali terlibat dalam aktiviti bola sepak buat sementara waktu, menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Badan induk bola sepak negara itu memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat selepas CAS menerima permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang difailkan pemain terlibat.
Menurut FAM, keputusan tersebut menyebabkan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang sebelum ini dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) tidak dikuatkuasakan sehingga keputusan akhir rayuan diputuskan.
“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.
“Mereka dibenar meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” menurut kenyataan itu.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.
Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib Fifa menjatuhkan hukuman penggantungan selama setahun dan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) ke atas setiap pemain berkenaan atas dakwaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen. FAM turut dikenakan denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta).
Pada 3 November lalu, rayuan awal yang dikemukakan FAM bersama tujuh pemain itu ditolak Fifa, sekali gus mengekalkan keputusan asal. Susulan itu, FAM membawa perkara berkenaan ke CAS untuk tindakan lanjut.
Perkembangan terbaharu ini dilihat memberi ruang kepada pemain terlibat untuk kembali beraksi sementara menunggu keputusan muktamad, lapor Bernama.



