Pegawai KPM Digesa Henti Budaya Beri Amaran Kepada Guru Mengkritik Di Media Sosial – Fadhlina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghentikan segera budaya memberi amaran kepada guru-guru yang mengkritik di media sosial.

Beliau malah menegaskan, pendekatan administratif yang baik hanya boleh dicapai apabila wujud ketelusan di peringkat bilik darjah, sekolah dan pejabat pendidikan.

“Saya dimaklumkan Cikgu Hasmadi telah diberi amaran oleh pegawai kerana mengkritik di media sosial. Saya mohon dihentikan budaya ini dengan kadar segera.

“Guru Pendidikan Khas adalah barisan hadapan saya dalam membangun konsep madani dalam pendidikan khas.

“Kebimbangan beliau adalah kebimbangan saya. Ruang kritikan konstruktif penting sebagai proses semak dan imbang mengikut saluran, adab berbeza pandangan yang sentiasa meletakkan kepentingan serta kebajikan murid-murid, para guru dan tonggak profesionalisme yang memandu penjawat awam,” tegas Fadhlina dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Ini susulan, mesej terbuka buat Menteri Pendidikan yang dimuat naik Guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko Kajang, Hasmadi Hamdan yang mengulas tentang Pendidikan Khas.

Katanya, dalam hal Pendidikan Khas, hanya guru Pendidikan Khas yang lebih faham bagaimana menguruskan MBK di peringkat PPKI atau sekolah pendidikan khas.

“Justeru, sumber maklumat Menteri mestilah datang dari guru PPKI dan sekolah pendidikan khas juga, bukan sekadar Bahagian Pendidikan Khas di KPM atau Sektor Pendidikan Khas Negeri.

“Dalam lantikan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) baru-baru ini, apabila tiada wakil yang lebih faham dan lebih arif mengenai hal-hal pendidikan khas dan keperluan MBK dilantik, maka ramai guru pendidikan khas mengeluh.

“Siapalah lagi yang boleh diharapkan membawa suara mereka? Yang boleh memastikan Menteri betul-betul faham keperluan guru-guru pendidikan khas dan MBK? Menteri ada menyebut hendak memastikan 4 kemudahan utama MBK di sekolah dilaksanakan (iaitu susur tangan, susur landai, tandas dan parking OKU). Itu boleh dipuji.

Namun katanya lagi, Menteri juga kena melihat segera hal-hal lain yg penting seperti peningkatan jumlah Murid Berkeperluan Khas (MBK) setiap tahun, ruang kelas sedia ada yang sempit, keperluan membuka lebih banyak kelas baharu, membina empati Pengetua atau guru besar (PGB) supaya menerima pelajar MBK di sekolah mereka (ada juga kes di mana PGB yang tidak mahu membuka kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah mereka).

“Begitu juga hal-hal berkaitan latihan guru pendidikan khas, latihan pengurusan MBK untuk pembantu murid, sokongan terapi dan klinikal serta pengurusan sokongan pendidikan khas.

“Isu paling besar di pendidikan khas sekarang ialah pelaksanaan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM). Terdapat banyak pertindihan pentaksiran di Pendidikan Khas yang membebankan guru dan juga murid seperti PASM, portfolio, KVS, PBD serta peperiksaan pertengahan dan akhir tahun,” katanya.

Justeru tambah Hasmadi, Menteri harus bersedia mendengar suara guru-guru dan NGO yang berada di luar KPM juga.

“Menteri tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pegawai-pegawai di KPM atau hanya menoleh kepada Datuk Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) untuk mendapatkan maklumat.

“Biasanya maklumat mereka tidak tepat dan hanya kosmetik semata-mata untuk menutup kelemahan mereka. Ini sudah pasti tidak menceritakan hal sebenar yang dialami di peringkat guru-guru yang melaksanakan tugas mendidik pelajar sendiri,” tegas beliau.- Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat