Pahang, Selangor tubuh jawatankuasa teknikal

- Advertisement -

KUANTAN – Satu jawatankuasa teknikal antara kerajaan Pahang dan Selangor ditubuhkan bagi meneliti serta memperincikan perkara berkaitan pembangunan, air dan persempadanan dua negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan jawatankuasa itu hasil perbincangan menerusi mesyuarat dua hala yang diadakan di Kuantan, hari ini.

Katanya, jawatankuasa yang dianggotai Setiausaha Kerajaan kedua negeri itu akan meneliti beberapa perkara yang sudah dibincangkan sebelum dikemukakan kepada mesyuarat kedua yang dijangka berlangsung sebelum Ramadan ini.

“Antara perkara dibincangkan membabitkan isu penyaluran air mentah Pahang ke Selangor, pendakian gunung di hutan simpan bersempadanan yang menyukarkan kedua-dua negeri jika berlaku perkara tidak diingini kepada pendaki.

“Selain itu, turut dibincangkan adalah penguatkuasaan bersama di sempadan berkenaan lori balak yang melebihi muatan serta penandaan (sempadan) negeri Pahang dan Selangor yang dimuktamadkan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat dua hala antara kerajaan Pahang dan kerajaan Selangor di Wisma Sri Pahang, di sini.

Mesyuarat dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat dua hala itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan Pahang dan Selangor bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dua hala secara berkala bagi membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama.

Katanya, ini kerana sempadan Pahang dan Selangor mempunyai banyak peluang ekonomi yang boleh diteroka dan dibina secara bersama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri.

Sementara itu, Amirudin berkata, kedua-dua kerajaan negeri mengambil peluang untuk bekerjasama termasuk menghubungkan anak-anak syarikat kedua negeri dalam mengupayakan keselamatan bekalan makanan dan juga keadaan jalan supaya memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerjasama ini melibatkan beberapa perjanjian seperti perbekalan air, sempadan dan pembangunan lokaliti kawasan tinggi,” katanya.

Jelas Amirudin, pembangunan lokaliti kawasan tinggi antara dua negeri itu penting untuk diseragamkan bagi tujuan keselamatan bersama.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat