Tabung Amanah MySDG pastikan tiada terpinggir arus pembangunan -PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesaksamaan dari segi kemajuan sosio-ekonomi bagi seluruh Keluarga Malaysia hal demikian Putrajaya berkoloborasi dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan Yayasan MySDG dan Tabung Amanah MySDG.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Dana Amanah MySDG merupakan koloborasi antara kerajaan dengan PBB di Malaysia yang menyediakan sebuah platform bagi menghimpunkan pelbagai sumbangan bagi menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).

Kata beliau, matlamatnya antara lain bertujuan untuk membasmi semua kategori kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada siapa pun dalam Keluarga Malaysia terpinggir daripada arus pembangunan.

Manakala, penubuhan Yayasan MySDG pula ujarnya mampu menarik lebih banyak sumbangan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan Agenda 2030 tercapai.

“Ini merangkumi konsep pembangunan untuk semua, termasuklah menangani jurang kekayaan dan pendapatan, serta bagi menuju ke arah sebuah negara yang bersatu, makmur dan berintegriti.

” Dengan pertumbuhan saksama setiap rantaian nilai, kelas, komuniti dan geografi, matlamat ini dijangka mewujudkan keharmonian, kestabilan dan perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan Keluarga Malaysia menjelang tahun 2030.

” Justeru, SDG bukanlah perkara baru di negara ini kerana telah diterima sejak 2015 dan akan terus dijajarkan serta diintegrasikan dengan pelbagai proses dan dasar yang telah dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu,” katanya dalam ucapan perasmiannya di Kementerian Kewangan Putrajaya pada Khamis.

Pada masa yang sama Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus menekankan dasar pertumbuhan inklusif yang merupakan teras kepada matlamat pembangunan, perpaduan dan kesejahteraan dalam konsep Keluarga Malaysia.

” Berlandaskan kepada SDG, saya yakin pembangunan negara akan bertambah baik dan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih teguh, berdaya tahan, aman dan makmur, disulami oleh keterangkuman bagi setiap lapisan masyarakat.

” SDG juga akan terus diintegrasikan sepenuhnya di dalam mekanisme dan dasar perancangan serta pembangunan negara. Malah, SDG dan petunjuk prestasi negara telah dilakarkan sepenuhnya dalam pelan pembangunan lima tahun negara, bermula dengan Rancangan Malaysia KeSebelas (RMK-11),” jelas beliau.

Ismail Sabri memaklumkan, melalui penjajaran penuh SDG ini, kerajaan dapat memantau segala kemajuan berkenaan usaha ini dengan lebih berkesan. Pada masa yang sama, penggemblengan sumber untuk menyokong SDG juga dapat dipastikan.

Selain itu kata beliau, kerajaan juga telah membangunkan satu pangkalan data SDG secara dalam talian – disokong oleh satu rangka kerja institusi yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

” Sebagai salah satu daripada 193 negara yang telah menyertai Agenda 2030 pada tahun 2015, Malaysia telah mengemukakan dua Laporan Voluntary National Review kepada PBB.

” Laporan terkini mengenai pencapaian SDG itu telah dibentangkan pada Ogos 2021 yang lalu. Berdasarkan laporan tersebut, Malaysia telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam pembangunan SDG yang meliputi pelbagai aspek.

” Namun demikian, masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan, terutamanya bagi SDG yang melibatkan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan golongan rentan serta miskin tegar.

” Dengan penjajaran sepenuhnya yang dilaksanakan dalam bajet tahunan kerajaan, kini kita dapat mengenal pasti jurang pembiayaan untuk mencapai aspirasi negara berkenaan SDG.

” Saya percaya, Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG akan dapat mengisi jurang ini, dan seterusnya membantu mempercepatkan pencapaian Agenda 2030,” yakin beliau.

Ismail Sabri menambah, pandemik COVID-19 telah menjejaskan pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada impak jangka panjang atau bersifat kekal.

” Situasi ini disukarkan lagi dengan bencana banjir yang melanda negara baru-bari ini, yang menjejaskan kehidupan Keluarga Malaysia di beberapa negeri yang bukan sahaja kehilangan bukan sahaja harta benda, tetapi juga orang tersayang.

“Saya berharap perkara ini dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak supaya dapat mengimbangi antara pembangunan dan kepentingan melindungi serta memulihara alam sekitar.

” Kita perlu sedar bahawa betapa pentingnya SDG sebagai paksi dalam semua perancangan dan dasar, terutamanya dalam menangani isu pembangunan yang tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar. Ini perlu diutamakan, lebih-lebih lagi bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang pada masa hadapan.

” Sekiranya kita mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi – sepertimana yang kita lalui baru-baru ini, ataupun mungkin lebih teruk lagi. Ia melangkaui apa yang boleh diukur dari segi kewangan,” katanya.

Hal demikian jelas beliau, kerajaan tidak mampu untuk menangani perkara ini secara bersendirian. Sokongan padu amat diperlukan daripada semua pihak, selari dengan pendekatan senegara terutamanya apabila kita merujuk kepada SDG.

” Dalam hal ini sektor perniagaan, institusi kewangan dan masyarakat perlu bersama-sama menyumbang dan turut serta dalam melengkapi usaha kerajaan mencapai matlamat SDG menjelang 2030.

” Pada petang ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menjemput seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira sektor swasta, NGO, CSO atau individu di dalam dan di luar negara, untuk sama-sama menyumbang kepada Dana Amanah MySDG.

” Sebagai langkah pertama, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa sumbangan kepada dana akan menerima pengecualian cukai sehingga 10 peratus daripada jumlah pendapatan agregat.

” Saya berharap insentif ini akan mendorong lebih ramai menyumbang kepada inisiatif yang bersejarah ini. Saya berterima kasih kepada PBB atas bantuan dan kerjasama yang diberikan, terutamanya dalam mempromosikan inisiatif ini kepada penyumbang antarabangsa yang sentiasa yakin dengan usaha dan aspirasi Malaysia dalam mencapai matlamat ini.

“Saya berharap kerjasama yang lebih erat dan utuh antara kerajaan dan PBB serta semua pihak yang terlibat akan terus terjalin,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,598FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat