KUALA LUMPUR — SuaraTV mengemukakan penjelasan editorial berhubung laporan bertajuk asal PAS sedia singkirkan Bersatu demi kerjasama dengan UMNO – Ahmad Fadhli Shaari”, yang diterbitkan pada 25 Disember 2025, susulan pertikaian yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, di media sosial.
Penjelasan ini bertujuan memperincikan asas editorial laporan berkenaan, menjelaskan konteks analisis yang digunakan, serta memaklumkan tindakan pembetulan yang telah diambil oleh pasukan editorial SuaraTV.
Laporan tersebut disusun berdasarkan kenyataan Ahmad Fadhli di media sosial yang menyatakan persetujuan terhadap cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional, dengan prasyarat bahawa UMNO dan Barisan Nasional mengisytiharkan keluar daripada gabungan kerajaan bersama Pakatan Harapan.
Dalam hantaran yang sama, Ahmad Fadhli turut memuat naik petikan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, yang secara jelas menggesa PAS meninggalkan Perikatan Nasional bagi membentuk semula Muafakat Nasional.
SuaraTV mengambil maklum bahawa dalam keseluruhan kenyataan tersebut, tidak terdapat penafian terhadap cadangan Dr Akmal berhubung keperluan PAS meninggalkan Perikatan Nasional, selain tiada kenyataan yang menyebut keperluan membawa Bersatu bersama dalam kerangka Muafakat Nasional yang dicadangkan.
Berdasarkan gabungan faktor ini persetujuan terhadap Muafakat Nasional, pemuatan naik kenyataan yang menggesa PAS meninggalkan Perikatan Nasional, serta ketiadaan penafian atau penjelasan lanjut mengenai kedudukan Bersatu — SuaraTV telah membuat analisis implikasi politik bahawa kenyataan berkenaan memberi isyarat kesediaan untuk mempertimbangkan saranan tersebut, tertakluk kepada prasyarat UMNO dan Barisan Nasional keluar daripada kerajaan sedia ada.
Namun demikian, SuaraTV mengakui bahawa tajuk asal laporan tersebut bersifat terlalu konklusif dan tidak sepenuhnya mencerminkan sifat bersyarat serta analitikal kandungan laporan. Sehubungan itu, pasukan editorial telah melakukan pindaan terhadap tajuk berkenaan kira-kira sejam selepas penerbitan awal bagi memastikan ketepatan, keadilan dan ketelitian pelaporan.
SuaraTV menegaskan bahawa laporan tersebut merupakan analisis terhadap implikasi politik berdasarkan konteks kenyataan yang dibuat, dan bukan petikan langsung atau pengumuman keputusan rasmi mana-mana parti politik.
Sebagai sebuah organisasi media, SuaraTV komited untuk mengekalkan standard kewartawanan yang adil, bertanggungjawab dan terbuka terhadap pembetulan apabila perlu.
— SuaraTV Editorial



