KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan usaha membanteras rasuah dalam aspek perolehan, penguatkuasaan dan “grand corruption” tahun depan.
Langkah itu bertujuan membantu pertumbuhan ekonomi negara, mengurangkan ketirisan serta mengembalikan aset dan wang negara yang diselewengkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, agensi itu akan melaksanakan transformasi struktur melalui penambahbaikan pendekatan kerja, selain memperkukuhkan fungsi dan peranan setiap bahagian agar lebih efektif dalam melaksanakan tugas.
“Sebagai ketua pesuruhjaya, saya akan melakukan ‘revamp’ terhadap pendekatan digunakan SPRM, termasuk cara bekerja, berfikir dan ‘mindset’.
” Langkah ini penting agar SPRM tidak terperangkap dalam zon selesa.
“Kita perlu menjalani transformasi untuk meningkatkan keberkesanan dan kepakaran, sekali gus memastikan pegawai lebih profesional dalam melaksanakan tugas berimpak,” lapor Bernama pada Khamis.
Beliau berkata, penekanan khusus akan diberikan terhadap penyiasatan tatakelola dengan penjenamaan semula Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (Perun) kepada Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT).
“Ia sekali gus memberikan taring kepada SPRM untuk memastikan hasil penyiasatan tatakelola diimplementasikan jabatan terlibat.
“Penting bagi menutup ruang dan peluang rasuah, selaras usaha memperkasakan ‘governance’ dan amalan tatakelola,” kata Azam.
Mengenai pertambahan peruntukan kepada SPRM dalam Belanjawan 2025, Azam merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan peruntukan tambahan untuk suruhanjaya itu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas kelulusan tambahan 200 pegawai.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi melaksanakan proses pengambilan ini.
“Penambahan pegawai ini bertujuan memperkukuh bahagian operasi SPRM, terutamanya dalam bidang berkaitan pengubahan wang haram dan kes berprofil tinggi. Ini selaras strategi ditetapkan bagi 2025 dan tahun seterusnya,” katanya.
Menurutnya, tambahan peruntukan kepada SPRM juga akan dimanfaatkan untuk mempromosikan tadbir urus baik, khasnya dalam sektor awam, memperkukuh kerjasama antarabangsa dengan pelbagai negara serta menyokong program pencegahan dan pendidikan lebih berimpak.
Selain itu, SPRM akan menyemak semula semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perintah tetap ketua pesuruhjaya bagi menangani cabaran semasa, memandangkan kes rasuah semakin rumit dan kompleks.
“Berdasarkan kekuatan kakitangan semasa, penting untuk mengamalkan pendekatan tepat dengan menilai semula strategi digunakan di semua sektor SPRM,” katanya.
Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan SPRM dinaikkan kepada RM360 juta tahun dean berbanding RM338 juta yang diterima tahun ini.
Katanya, kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan pesalah rasuah diheret ke muka pengadilan.