Agensi bawa masuk 171 pekerja Bangladesh tanpa kerja kerja akan dipanggil KSM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memanggil agensi yang terlibat dalam pengambilan 171 pekerja asing dari Bangladesh kerana gagal mendapatkan pekerjaan untuk mereka selepas tiga bulan berada di negara ini.

Menterinya Steven Sim berkata siasatan lanjut akan dijalankan pada minggu ini.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati bersalah,” lapor Malaysiakini.

Semalam Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora dilaporkan pekerja berkenaan dibawa masuk ke Malaysia secara sah tetapi masih belum mendapat pekerjaan seperti dijanjikan ejen mereka selepas tiga bulan tiba ke negara ini.

“Jadi, warga Bangladesh berkenaan memutuskan untuk berjalan kaki ke balai polis Bayu Damai, kira-kira 10km dari tempat penginapan mereka, untuk membuat laporan polis pada 20 Dis,” katanya dipetik The Star.

Bagaimanapun, laporan polis dibuat terhadap pekerja terbabit selepas rakaman video menunjukkan mereka berjalan beramai-ramai tular di media sosial.

Hussin juga berkata pekerja terbabit tidak berjaya membuat laporan polis selepas mendapati ejen mereka masih belum mendapatkan pekerjaan yang sesuai untuk mereka.

Mengulas lanjut, Steven berkata dia telah mengarahkan kementeriannya untuk membantu warga Bangladesh terbabit mendapatkan pekerjaan.

“Tindakan ini dilaksanakan atas dasar kemanusiaan memandangkan perkara ini sebenarnya di luar bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Pada masa sama, Steven berkata dia akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menambah baik dasar berkaitan pekerja asing.

“Saya nak tegaskan di sini, pengambilan tenaga kerja migran adalah untuk menyokong perniagaan tempatan yang perlu dan tidak harus dilihat sebagai satu perniagaan,” kata Steven.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa siasatan segera diadakan terhadap pihak yang memperdaya pekerja asing itu.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata pelanggaran hak asasi manusia, termasuk di sektor perniagaan, tidak sepatutnya diterima.

“Ini hanya sebahagian kecil daripada masalah yang lebih besar. Pihak di belakang sindiket ini perlu dipertanggungjawabkan dan siasatan segera dibuat berkenaan siapa yang memberi permit pekerjaan disediakan.

“Tanggungjawab dan peranan semua syarikat terlibat juga perlu disiasat untuk memastikan bagaimana pekerja asing yang sah dieksploitasi dan dijanjikan pekerjaan di Malaysia.

“Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Kita tidak boleh bertoleransi terhadap pelanggaran hak asasi manusia, termasuk dalam perniagaan. Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan yang tak bertanggungjawab,” katanya di X.

Azalina juga menyuarakan penghargaan kepada Steven atas bantuan yang diberikan kepada pekerja asing terlibat.

Insiden itu turut mendapat perhatian dua bekas Ahli Parlimen PH.

Bekas ahli parlimen Klang, Charles Santiago dalam satu catatan di X menggesa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap pekerja berkenaan yang disifatkan menjadi mangsa ejen mereka.

“Mereka perlukan keadilan. Mereka meminjam wang untuk datang ke sini. Tiada pekerjaan, tiada gaji, tiada makanan,” katanya, merujuk kes penipuan dan hutang yang ditanggung pekerja asing.

Selain itu, Charles berkata pihak polis perlu menyiasat sekiranya terdapat komplot antara ejen dan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berkata SPRM perlu segera menyiasat bagaimana ejen mendapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen untuk membawa masuk pekerja sedangkan tiada pekerjaan disediakan kepada mereka.

“Imigresen harus berhenti menganggap pekerja Bangladesh sebagai penjenayah yang telah melanggar undang-undang imigresen,” katanya.

Credit foot: UtusanTv

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat