Dedah ditawar jawatan PM, Zahid tuju kepada Anwar untuk ‘diambil perhatian’ – Fadhli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pas mendakwa pendedahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya beliau ditawarkan jawatan Perdana Menteri sekiranya meninggalkan gabungan Kerajaan Perpaduan adalah untuk diambil perhatian oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mendakwa pendedahan Zahid itu didekasikan untuk perhatian Perdana Menteri bukannya pembangkang atau rakyat.

“Sebenarnya, kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung ada tawaran kepada dirinya untuk jadi Perdana Menteri itu ditujukan kepada PMX (Anwar) untuk ‘diambil perhatian’ sewajarnya.

“… dan bukannya kepada Perikatan Nasional (PN), apatah lagi kepada rakyat jelata,” dakwa Ahli Parlimen Pasir Mas itu di Facebooknya pada Selasa.

Fadhli berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan beliau tidak risau dan bimbang mengenai pendedahan yang dibuat oleh Zahid mengenai cubaan mengagalkan gabungan Kerajaan Perpaduan.

Hal ini kata Anwar, gabungan yang diketuai beliau ketika ini adalah kuat dan bulat dengan sokongan daripada parti-parti politik utama termasuk Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Itu biasa politik, saya tidak risau. Tetapi menariknya Zahid diserang hari-hari dan saya diserang kerana kekalkan dia. Orang menyerang dia bukan sebab kes dia. (Pembangkang) menyerang dia kerana dia (Zahid) tidak mahu bersekongkol dengan mereka.

“Kalau dia memilih untuk menyertai pembangkang, maka semua kesalahan akan dipadamkan. Apabila saya melihat itu, saya nyata bahawa orang ini (pembangkang) bukannya peduli mengenai kes yang disebutkan,” katanya dalam Program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Republik Korea pada Isnin.

Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, tidak akan masuk campur sebarang urusan siasatan, pendakwaan dan prosiding di mahkamah.

“Ada orang tanya, mengapa tidak campur (tangan) kes baru-baru ini mengenai dakwaan rasuah? Mengapa Anwar tidak ambil tindakan tegas? Saya hanya boleh sebut siasat. Ada kes, maka siasat.

“Saya tidak boleh campur siasatan. Saya tidak boleh masuk campur soal pendakwaan dan jatuhkan hukuman dengan bisik kepada hakim untuk jatuhkan hukuman.

“Kalau saya buat begitu, saya tidak belajar daripada pengalaman lalu. Saya tahu benar, apabila ada orang masuk campur (urusan mahkamah) jahanam negeri ini,” ujarnya.

Pada Ahad, dalam ucapan perasmian Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024, Zahid yang merupakan Pengerusi BN mendedahkan wujudnya usaha memujuk gabungan itu meninggalkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Tanpa mendedahkan pihak terbabit, beliau mendakwa, gabungan itu turut ditawarkan jawatan perdana menteri jika bersetuju dengan cadangan tersebut.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat