KUALA LUMPUR – Syarikat Lotte International yang merupakan konglomerat keenam terbesar Republik Korea telah menyatakan minat dalam pelbagai produk kelapa sawit, produk kimia, koko dan makanan laut dari Malaysia.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, syarikat tersebut turut berkeinginan untuk mengembangkan produk kelapa sawit mereka, nitril dan sarung tangan latex untuk industri francais makanan dari Malayisa.
“Pada acara terakhir pertemuan bersama syarikat dan firma perniagaan di Republik Korea, saya telah bersemuka dengan pihak POSCO Group dan Lotte International.
“POSCO International merupakan salah satu syarikat perniagaan terbesar Korea dan kini mengimport inti kelapa sawit (palm kernel expeller, PKE) untuk makanan binatang ternakan dari Malaysia ke Korea dan sedang merencana untuk meningkatkan import PKE. Sebagai tambahan, kami turut menyentuh mengenai aktiviti pelaburan dalam industri minyak kelapa sawit dan POSCO sedang berkira-kira untuk mengimport palm oil yang telah diproses.
“Manakala dalam pertemuan bersama Lotte International yang merupakan konglomerat keenam terbesar Republik Korea telah menyatakan minat dalam pelbagai produk kelapa sawit, produk kimia, koko dan makanan laut dari Malaysia. Syarikat tersebut turut berkeinginan untuk mengembangkan produk kelapa sawit mereka, nitril dan sarung tangan latex untuk industri francais makanan dari Malaysia,” kata Anwar dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, aktiviti perdagangan antara Malaysia dan Korea yang didukung oleh rencana strategik POSCO Group dan Lotte International sedang mengemudi pertumbuhan di pelbagai industri dan lapangan di kedua-dua negara.
“Kerajaan Madani akan memastikan bahawa minyak kelapa sawit akan terus menyumbang, tidak hanya kepada ekonomi Malaysia tetapi juga kepada aspek keterjaminan makanan global,” ujar Anwar.