DBKL, PBT jangan bagi muka tegas pertahan bahasa kebangsaan – Gapena

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negara dinasihatkan agar tidak gentar dalam menguatkuasakan undang-undang papan tanda yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, Gapena menyokong penuh tindakan DBKL dalam menurunkan papan tanda yang tidak menggunakan bahasa Melayu selaras dengan peruntukan sedia ada.

Menurut beliau, tindakan menegur dan menasihati dalam isu itu perlu diikuti dengan tindakan undang-undang sekiranya masih ada pemilik premis yang terus berdegil.

“Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat, sebuah negara berperlembagaan dan memiliki undang-undang.

“Jangan beri muka kepada pihak-pihak yang cuba campur tangan kononnya untuk kepentingan para pelancong,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mencetuskan polemik selepas menyifatkan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Kata King Sing, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Terdahulu, media melaporkan DBKL minggu lalu, melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Zainal Abidin menambah, pegawai dan anggota DBKL serta PBT di seluruh negara merupakan instrumen kenegaraan, justeru perlu melaksanakan undang-undang yang ditetapkan.

“Jangan khuatir dengan pihak-pihak yang cuba campur tangan, waima orang politik mahupun tokoh korporat dan perniagaan sekali pun,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat