Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Seramai 252 pegawai dan Lain-lain Pangkat (LLP) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dikurniakan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT).
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan media memaklumkan, Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan sesi kedua Istiadat Pengurniaan DKAT yang berlangsung di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, dekat sini pada Isnin.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman; Ketua Setiausaha MinDef, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pegawai Kanan ATM, dan Pegawai Kanan Awam MinDef.
Kenyataan itu menyebut, pengurniaan tersebut atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim.
Menurutnya, istiadat ini dilaksanakan bersempena sambutan Hari ATM ke-91 dan bertujuan menghargai pegawai dan LLP ATM yang berkelayakan di atas semua jasa dan pengorbanan tidak berbelah bahagi yang telah dizahirkan kepada perkhidmatan ATM.
“Sesi kedua istiadat pengurniaan DKAT pada kali ini menyaksikan penganugerahan bagi tiga kategori D penerima meliputi pecahan iaitu Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 22 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 114 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) kepada 116 penerima, ”katanya.
“Brigedier Jeneral, Jasmi Che Ismail (TUDM) mendahului senarai penerima PAT, Kolonel (Dr) Nazihatul Fikriah Abd Halim pula mendahului senarai penerima KAT, manakala Pegawai Waran 1, Junaidi Padil mendahului senarai penerima BAT,”katanya lagi.
“Terdahulu, Sultan Ibrahim telah berkenan menyempurnakan sesi pertama pengurniaan DKAT kepada 100 penerima bertempat di Istana Negara pada 25 Oktober lalu.
“Seusai kedua-dua sesi pengurniaan ini telah menghimpunkan jumlah keseluruhan seramai 352 penerima DKAT bagi tahun 2024,”tambahnya. – SUARA.TV