Pawagam dalam talian pertama Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melancarkan pawagam dalam talian pertama di Malaysia, Film Wallet Premium Video-On-Demand atau Film Wallet PVOD bagi merevolusikan dan meningkatkan pengalaman penonton menonton filem dalam persekitaran selesa dan selamat.

Ia sekali gus membawa kesan positif kepada ekosistem industri perfileman tempatan dengan kewujudan platform hiburan digital baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, perkembangan teknologi digital seperti saluran YouTube dan Over The Top (OTT) tidak akan menjejaskan perniagaan bagi pengeluaran filem, malah menjadi alternatif platform menambah pendapatan, kutipan dan medium promosi.

“Saya percaya pelancaran Film Wallet PVOD akan memberi kesan positif pada ekosistem industri perfilemaan kerana ia adalah platform hiburan terkini.

“Dan adanya platform digital seperti Film Wallet PVOD akan lebih memberi ruang kepada penggiat filem yang bukan dikategorikan dalam industri ‘mainstream’.

“Saya berharap platform ini akan menggalakkan penghasilan filem tempatan yang lebih kreatif, bermutu dan pelbagai topik penceritaan dapat dihasilkan,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Film Wallet PVOD di pusat beli belah, Tropicana Gardens Mall, semalam.

Terdahulu, Film Wallet PVOD mengumumkan akan melancarkan platform ke dua negara dalam Asia Tenggara pada Februari tahun depan kerana mahu pengeluaran filem tempatan mencapai penonton lebih ramai.

Dimiliki syarikat tempatan, platform berkenaan menawar ratusan kandungan yang diminati ramai dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Hong Kong, China, Korea Selatan, Eropah dan banyak lagi.

Beliau berkata, selain menjadi platform perkhidmatan media berinovatif, Film Wallet PVOD sedang bekerjasama dengan penerbit tempatan serta antarabangsa bagi menyiarkan filem dan kandungan antarabangsa yang eksklusif.

 

Pelancaran Film Wallet PVOD akan memberi kesan positif pada ekosistem industri perfilemaan kerana ia adalah platform hiburan terkini. - NSTP/Owee Ah Chun
Pelancaran Film Wallet PVOD akan memberi kesan positif pada ekosistem industri perfilemaan kerana ia adalah platform hiburan terkini. – NSTP/Owee Ah Chun

 

Md Nasir berkata, ia adalah pencapaian membanggakan kerana Film Wallet PVOD adalah 100 peratus produk tempatan dan mempunyai perancangan meluaskan perniagaan serta pasaran ke negara Asia Tenggara dalam masa terdekat.

“Misi Film Wallet PVOD membantu karya tempatan dieksport ke luar negara. Ia amat bersesuaian dan selari dengan hasrat FINAS untuk menggalakkan, mempromosi dan menayangkan filem tempatan ke peringkat global.

“Inisiatif ini amatlah dialu-alukan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan FINAS. Saya juga ingin menggalakkan lebih ramai pengeluar dan pengedar filem tempatan bekerjasama dalam ekosistem baharu ini.

“Peluang seperti ini bukan sahaja boleh membantu meningkatkan pengeluaran sesebuah filem, tetapi mampu membantu meningkatkan kreativiti dalam penghasilan sesebuah karya,” katanya.

Justeru, Md Nasir berharap, Film Wallet PVOD berkemampuan mengembangkan platform ke peringkat antarabangsa dalam masa yang singkat.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif kepada Film Wallet PVOD, Jack Yeoh, berkata platform berkenaan bukan sekadar satu solusi kepada pengguna mendapat akses menonton filem kegemaran tanpa merisaukan bayaran langganan pensrtiman, malah menjadi inisiatif merangsang industri perfileman Malaysia.

“Kami berazam menyumbang pertumbuhan industri perfileman tempatan dengan menyebarkan kandungan ke peringkat antarabangsa menerusi pelancaran platform ini ke dua negara Asia Tenggara, tidak lama lagi,” katanya.

Dengan satu klik di telefon pintar, tablet ataupun televisyen, penonton boleh mengakses Film Wallet PVOD mengikut keselesaan di rumah mahupun di mana-mana sahaja.

Dengan ini, penonton tidak perlu komited terhadap bayaran langganan bulanan penstriman untuk menonton kandungan yang berdefinasi tinggi, tetapi mampu membeli filem yang diingini pada harga serendah RM1.90 yang boleh ditonton berkali-kali dalam tempoh yang diberikan.

Pada sidang akhbar lalu, Film Wallet PVOD mengumumkan pembabitan dalam filem tempatan berjudul Syaitan Nirrajim arahan Ayez Shaukat, Where You Are (Woo Ming Jin) dan Isolasi (Ryon Lee) yang dijangka ditayangkan, tahun depan.

Film Wallet PVOD juga bakal memperkenalkan kolaborasi bersama kandungan antarabangsa, Celestial Tiger Entertainment dari Hong Kong dan pengguna dapat akses kepada filem aksi dan mengerikan dari seluruh dunia.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat